KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, yang memasuki hari kelapan hari ini, menyaksikan komitmen berterusan polis untuk terus mengenal pasti punca kejadian api yang menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius itu.
Pelbagai faktor dikaji termasuk sudut mekanikal, alam sekitar, operasi serta keselamatan menjadi keutamaan siasatan polis selepas ini selain unsur kecuaian dan jenayah, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Siasatan melibatkan faktor mekanikal meneliti jika terdapat kemungkinan runtuhan struktur, kakisan (corrosion) atau kerosakan akibat aktiviti manusia manakala faktor alam sekitar melihat jika terdapat pergerakan air bawah tanah dan hakisan semula jadi yang boleh menyebabkan paip itu pecah.
Menurut Hussein, polis juga turut menumpukan siasatan terhadap operasi penyelenggaraan sistem saluran gas serta peralatannya.
Beliau menegaskan bahawa siasatan dijalankan dengan kerjasama agensi teknikal lain, serta menafikan wujudnya sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk menyembunyikan proses siasatan di lokasi kebakaran termasuk dakwaan menyorok kematian.
Polis juga tidak menerima sebarang laporan kehilangan harta benda akibat kecurian daripada mana-mana pihak dan sebanyak 120 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am ditugaskan selama 24 jam di setiap simpang di Taman Putra Heights, Kampung Kuala Sungai Baru serta Kampung Sungai Baru yang berdekatan lokasi kejadian, bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk yang terjejas.
Selain itu, Hussein berkata sebanyak 270 kediaman daripada 437 yang terkesan akibat insiden itu disahkan selamat diduduki selepas penilaian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata bekalan elektrik dan telekomunikasi di kawasan terjejas akibat insiden berkenaan juga dijangka pulih sepenuhnya, Jumaat ini.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 39 orang daripada keseluruhan 150 mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran itu masih menerima rawatan di hospital dan klinik dengan 17 mangsa dirawat di hospital kerajaan manakala 22 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan seorang lelaki berusia 21 tahun.
Semakan awal Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat ini pula mendapati 24 mangsa yang terkesan dengan insiden itu layak memohon bantuan peralatan pemulihan manakala syarikat pengurusan kenderaan, SPANCO, tampil menaja 55 unit motosikal dengan sebahagian besar penerima ialah penduduk Kampung Kuala Sungai Baru.
Insiden kebakaran saluran paip gas pukul 8.10 pagi pada 1 April itu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial