AM > BERITA

Pembangunan Pusat Kecemerlangan Teknologi Pembuatan Kapal Di Bagan Datuk Diteliti - Ahmad Zahid

08/04/2025 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Cadangan pembangunan Pusat Kecemerlangan Teknologi Pembuatan Kapal di Bagan Datuk, Perak, sedang diteliti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi pembentangan khas Cadangan Zon Ekonomi Baharu (Maritim) Bagan Datuk yang merupakan satu langkah strategik untuk memperkasakan industri maritim negara dan melonjakkan keupayaan sektor itu ke tahap lebih tinggi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata sesi pembentangan berkenaan turut menyentuh peranan penting Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET,) Green Tact Solutions-Hyundai dan Perak Corporation Bhd bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Beliau berkata bagi kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan, sebuah pasukan petugas khas turut diwujudkan untuk memantau perkembangan projek itu serta memastikan setiap langkah diambil selaras dengan hala tuju strategik yang ditetapkan.

“Saya yakin, dengan perancangan rapi, kerjasama erat antara industri dan akademik, serta pemantauan yang sistematik, Bagan Datuk bakal muncul sebagai hab maritim baharu yang akan membawa manfaat besar kepada ekonomi negara dan masyarakat setempat. Insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan