AM > BERITA

Tujuh Pelajar MRSM Terlibat Kes Buli Disyor Tamat Pengajian - Asyraf Wajdi

08/04/2025 12:30 PM

NIBONG TEBAL, 8 April (Bernama) -- Jawatankuasa disiplin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengesyorkan tujuh pelajar MRSM di sini yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian daripada maktab itu, menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata pejabatnya juga tidak akan melayan rayuan pelaku insiden itu, jika mereka berbuat demikian.

“Tujuh pelajar didapati terlibat iaitu dua terlibat buli fizikal (manakala) lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM.

“Tidak kira anak sesiapa sekalipun Tan Sri, Datuk, hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu,” katanya.

Asyraf berkata beliau tidak bersetuju mereka diberikan peluang kedua, kerana sejak awal dilantik sebagai Pengerusi MARA, beliau berulang kali mengingatkan prinsip #YouTouchYouGo untuk tidak berkompromi dengan apa juga bentuk budaya buli di institusi pendidikan MARA termasuk MRSM.

Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Jay January Siowou berkata polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu dan mengesan institusi serta kesemua individu terlibat bagi mendapatkan keterangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika ditemubual Bernama Radio hari ini, berkata tindakan tegas hingga peringkat penyingkiran terhadap mereka terlibat perlu diambil, bagi memberi mesej jelas kepada pelajar lain bahawa tiada kompromi terhadap perbuatan buli.

“Kalau tengok dalam video, macam menggalakkan dan seronok melihat rakan-rakan memukul dan boleh pula merakam (perbuatan itu) sambil membuat lawak. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Sebab itu, berulang kali saya sebutkan dari awal, saya sudah beri amaran keras. Siapa yang buli, kita tidak kompromi. You touch you go (kamu sentuh kamu pergi),” katanya. 

Asyraf Wajdi juga memberi jaminan tiada kes buli akan didiamkan atau ditutup, dengan sekiranya ada cubaan berbuat demikian kerana takut menjejaskan imej MRSM, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak pentadbir MRSM.

Selain itu, beliau memaklumkan telah berbincang dengan Ketua Pengarah MARA semalam, untuk melihat soal lantikan secara kontrak warden tetap di MRSM selain memberi tanggungjawab kepada guru sedia ada dengan menambah elaun mereka, bagi menangani isu buli.

“Saya kira perlu ada mekanisme lain, kita boleh mengambil warden daripada polis atau tentera berpencen,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan