KOTA BHARU, 7 April (Bernama) -- Aktiviti pelayaran sungai atau river cruise bakal menjadi produk pelancongan terbaharu di Kelantan yang dijangka mula beroperasi pada Mei ini, kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor.
Beliau berkata perkhidmatan itu akan memberi peluang kepada pelancong menikmati panorama indah sepanjang Sungai Pengkalan Datu hingga ke Tambatan Diraja.
“Perkhidmatan ini sangat eksklusif dengan hanya memuatkan 18 penumpang pada satu-satu masa. Bot ini turut menyediakan hidangan masakan tradisional Kelantan.
“Kemudahan ini juga akan berhenti di beberapa hentian terpilih termasuk Laman Warisan dan beberapa lokasi bersejarah sekitar Pengkalan Datu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records kepada Hotel Renai, di sini hari ini.
Hotel Renai menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas pencapaian menyediakan menu iftar terbanyak dalam sehari, gerai makanan dalam hotel terpanjang dan jamuan iftar terbesar sepanjang Ramadan lepas.
Sementara itu, Kamarudin berkata pencapaian Hotel Renai bukan sahaja membanggakan pihak pengurusan hotel berkenaan malah turut mengharumkan nama Kelantan.
"Pencapaian ini memberi impak besar kepada persepsi pelancong terhadap kemampuan sektor perhotelan negeri dalam memenuhi keperluan mereka ketika berkunjung ke sini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial