SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Seramai 82 mangsa diselamatkan setakat ini termasuk 12 orang tercedera susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di Subang Jaya, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kesemua mangsa telah menerima rawatan awal di Surau Nurul Iman serta Kuil Sri Maha Kaliamman sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
“Susulan itu orang awam dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan kebakaran di Jalan Putra Harmoni Putra Heights di Subang Jaya sementara usaha-usaha pemadaman sedang giat dilakukan.
“Keutamaan pada masa kini adalah untuk mengawal kebakaran serta menyelamatkan mangsa oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Amirudin berkata 78 anggota bomba telah melaksanakan kerja-kerja pemadaman sejak 8.10 pagi tadi dan proses berkenaan sedang berlangsung sehingga kini.
“Keadaan api masih marak disebabkan sisa gas yang masih (ada) dalam saluran gas tersebut dan ini telah menyebabkan api marak menjulang tinggi di kawasan Jalan Putra Harmoni Putra Heights,” katanya.
Sementara itu beliau mengesahkan hanya satu sahaja PPS dibuka setakat ini iaitu PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Terdahulu media melaporkan JBPM sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial