EKONOMI

ASEAN PERLU BERANI ATASI HALANGAN DAGANGAN TINGKATKAN PERTUMBUHAN PMKS – SAMENTA

22/05/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu mengambil langkah berani untuk menangani cabaran perdagangan utama melalui perjanjian yang boleh dikuatkuasakan bagi mengurangkan halangan bukan tarif, memperluas pengiktirafan bersama, serta mempercepat pelaksanaan ASEAN Single Window bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) William Ng berkata tahap perdagangan intra-ASEAN yang masih rendah mendatangkan kerugian terutamanya memandangkan kedudukan geografi Malaysia yang strategik dan hubungan budaya yang rapat.

“Bagi PMKS, perdagangan dalam ASEAN seharusnya menjadi langkah paling mudah ke arah pengantarabangsaan. Namun begitu, mereka berdepan pelbagai halangan bukan tarif yang menjadikan perdagangan rentas sempadan tidak cekap dan mahal.

“Ini termasuk ketidakseragaman pelabelan produk dan piawaian keselamatan antara negara anggota, proses pelepasan kastam yang rumit dan belum didigitalkan sepenuhnya, serta peraturan kesihatan dan fitosanitari yang tidak diselaraskan dengan baik dalam sektor agromakanan,” katanya.

Ng turut berkongsi bahawa perbezaan dalam sistem pelesenan dan pensijilan dalam sektor perkhidmatan seperti logistik dan runcit turut menjadi halangan besar.

Beliau berkata rantaian bekalan global kini sedang mengalami penjajaran semula apabila syarikat-syarikat cuba mengurangkan kebergantungan kepada satu negara sahaja, seperti yang dilihat dalam strategi “China Plus One”.

Pada masa sama, beliau berkata ketegangan yang semakin meningkat antara kuasa besar dunia, termasuk konflik perdagangan Amerika Syarikat-China, serta perpecahan ekonomi yang semakin ketara mewujudkan risiko dan peluang kepada ASEAN.

"Inilah masa terbaik untuk ASEAN tampil sebagai blok yang bersatu, berkecuali, dan mesra perniagaan yang mampu menarik pelaburan global, menyerap perubahan dalam rantaian bekalan, serta memenuhi mandat baharu dalam sektor pembuatan.

“Namun untuk mencapai matlamat ini, kita mesti memperkukuh keupayaan PMKS agar dapat menjadi pembekal, rakan niaga, dan inovator yang boleh dipercayai. Sekiranya PMKS terus dipinggirkan dalam peralihan ini, ASEAN berisiko menghadapi dualisme ekonomi yang lebih mendalam dan jurang ketaksamaan yang melebar,” katanya.

Ng menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin tidak seimbang dari segi kuasa, ASEAN perlu berwaspada terhadap peningkatan perlindungan perdagangan dan memastikan akses pasaran timbal balik terus dipertahankan.

Meskipun syarikat besar mungkin mempunyai sumber untuk menyesuaikan diri atau melobi, PMKS lazimnya menjadi pihak pertama yang terjejas akibat pelaksanaan tarif mendadak, kuota, atau larangan import secara tiba-tiba.

“ASEAN mesti bertindak proaktif dalam pertahanan perdagangan agar PMKS kita tidak menjadi mangsa keadaan dalam pertikaian ekonomi global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan