AM

ANGKASA SERAH TAJAAN RM100,000 KEPADA KOPERASI LLM BHD BAGI PENGANJURAN ACNR2025

22/05/2025 10:54 AM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) menyerahkan tajaan berjumlah RM100,000 kepada Koperasi LLM Bhd bagi menjayakan penganjuran ASEAN Cultural Night Run@Penang 2nd Bridge (ACNR2025).

Majlis simbolik penyerahan tajaan berlangsung semalam disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah kepada Pengerusi Koperasi LLM Berhad Datuk Idrus Mat Tais dengan disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

ACNR2025 akan diadakan pada 16 Ogos depan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Pulau Pinang atau lebih dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang. 

ANGKASA dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk warga koperasi dari seluruh Malaysia dan negara anggota ASEAN. 

"Penganjuran program ini dibuat sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di samping menyemarakkan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini," kata ANGKASA.

Majlis tersebut juga menyaksikan komitmen kedua-dua pihak iaitu ANGKASA dan Koperasi LLM Bhd untuk memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam penganjuran program ACNR2025, sebaik sahaja dokumen itu dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Melalui penganjuran ACNR2025, ANGKASA percaya ia dapat mengeratkan hubungan kerjasama koperasi di peringkat ASEAN, di samping mempromosikan Malaysia sebagai hab gerakan koperasi serantau yang progresif dan berdaya saing. 

Lebih menarik, ACNR2025 yang dianjurkan pada waktu malam bakal memberikan pengalaman unik kepada para peserta untuk menghayati keindahan panorama dari Jambatan Kedua Pulau Pinang yang ikonik dan tersergam indah.

Menurut ANGKASA lagi, peserta juga digalakkan mengenakan pakaian tradisional sebagai simbolik kepada keharmonian dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. 

Acara larian itu melibatkan Fun Run 5 kilometer (km), manakala larian kompetitif 10km dibahagikan kepada enam kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita, kategori lelaki dan wanita veteran serta kategori kanak-kanak (junior) lelaki dan perempuan. 

Bagi larian kompetitif 21km pula dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita serta kategori lelaki dan wanita veteran. 

Selain acara larian, program ACNR2025 turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran, jualan serta cabutan bertuah. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan ACNR2025, boleh layari Facebook @ANGKASACoop atau CulturalNightRun dan laman sesawang rasmi di pautan www.culturalnightrun.com.my

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan