KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kuala Lumpur kini giat memperhebat inisiatif transformasi bandar menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bagi memperkukuh imejnya sebagai bandar raya global yang progresif, bersih, selamat dan berdaya saing.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyatan kepada Bernama memaklumkan pelbagai inisiatif pembersihan, pengindahan dan penaiktarafan infrastruktur dan landskap telah digerakkan secara agresif di sekitar ibu negara.
Inisiatif itu termasuk meningkatkan kekerapan kutipan sampah, sapuan jalan serta penggantian 224 tong sampah lama dengan reka bentuk baharu yang lebih moden.
Dalam usaha mewujudkan ruang yang lebih lestari, 40 lokasi pusat pengumpulan sampah turut dinaik taraf lengkap dengan elemen mural, manakala pasukan pengutip sampah digerakkan secara harian untuk membersihkan kawasan hijau di laluan utama.
Selain itu, inisiatif komuniti turut digalakkan menerusi aktiviti ploging atau joging sambil mengutip sampah yang dijalankan setiap Ahad minggu ketiga dengan penyertaan penduduk, badan bukan kerajaan, pelajar dan komuniti setempat.
“Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada pelan komprehensif memastikan Kuala Lumpur benar-benar bersedia sebagai tuan rumah persidangan serantau ini,” menurut kenyataan itu.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 26 Mei.
Bersempena dengan persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober ini.
Menurut DBKL, projek menaik taraf dan mengindahkan lebih 30 kawasan utama di ibu negara termasuk pembinaan siar kaki dan penurapan jalan turut dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini.
Lokasi utama antaranya Jalan Stesen Sentral, Jalan Tun Razak, Jalan P.Ramlee, Jalan Conlay dan Jalan Bangsar, manakala elemen kehijauan diberi suntikan baharu di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Parlimen dan Dataran Merdeka dengan penanaman pokok hiasan, landskap tropika malar hijau dan bunga bermusim.
Selain itu, kempen penyelenggaraan dan pembersihan bangunan turut digerakkan dengan menyeru pemilik premis di kawasan tumpuan agar mengecat semula dan memastikan kebersihan sentiasa terjaga.
Selari dengan pendekatan bandar pintar, DBKL menubuhkan Bilik Gerakan Insiden Awam yang berperanan sebagai pusat penyelarasan tindakan kecemasan dan pemantauan menyeluruh, disokong oleh lebih 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh ibu kota.
“Kami (DBKL) yakin semua usaha ini bukan hanya menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah ASEAN 2025, malah mengangkat imej ibu negara sebagai bandar raya yang progresif, mampan dan inklusif, seiring aspirasi Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN yang cemerlang,” menurut DBKL.
-- BERNAMA