AM

AYOS 2025 RAPAT JURANG BAKAT DALAM KALANGAN NEGARA ANGGOTA ASEAN 

22/05/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang dilancarkan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, bertujuan merapatkan jurang bakat dalam kalangan negara anggota bagi mewujudkan tenaga kerja serantau yang lebih tangkas dan berdaya saing.

AYOS 2025 yang bertemakan “Bridging Talent, Building ASEAN” dan diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) itu menumpukan kepada keperluan mendesak untuk menghubungkan kemahiran serta peluang dalam kalangan negara ASEAN.

“Inisiatif sepanjang tahun itu bertujuan mencungkil sepenuhnya potensi tenaga kerja ASEAN dan melonjakkan lagi pembangunan bakat serantau,” menurut HRD Corp dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif itu juga menyasarkan lima objektif utama, termasuk merapatkan jurang kemahiran antara negara anggota, menggalakkan mobiliti bakat bagi meningkatkan ketangkasan tenaga kerja dan memastikan pertumbuhan inklusif yang mampu memperkasakan setiap lapisan komuniti.

Selain itu, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama serantau demi kemakmuran bersama serta meningkatkan kerjasama awam swasta bagi menyediakan tenaga kerja masa depan.

Dilancarkan pada 14 April di Connexion Conference & Event Centre (Nexus), Bangsar South di sini, AYOS 2025 mendapat sokongan daripada rakan serantau utama, termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat ASEAN.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan menekankan kepentingan tindakan bersama antara negara anggota untuk menangani ketidaksamaan serantau, menggilap potensi belia dan meningkatkan daya tahan tenaga kerja.

Sepanjang tahun ini, AYOS 2025 bakal menganjurkan tujuh acara utama bagi memacu kerjasama dan inovasi, termasuk Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS), Minggu Latihan Kebangsaan, Persidangan Pasaran Latihan ASEAN, Persidangan TVET ASEAN, Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2025, Forum Kemahiran Global, dan ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development.

Sementara itu, di peringkat kebangsaan, setiap negara anggota ASEAN mempunyai penyelaras kebangsaan dan duta yang dilantik khusus sebagai wakil di negara masing-masing.

“Penyelaras dan duta itu memainkan peranan penting dalam menggalakkan dan menyelaras program serantau serta aktiviti kebangsaan sejajar dengan matlamat AYOS 2025. 

“Mereka akan terlibat dengan pihak berkepentingan utama, mengetuai inisiatif pembangunan modal insan dan mewakili negara masing-masing dalam perbincangan serantau, memastikan pelaksanaan yang bersepadu dan berimpak tinggi di seluruh ASEAN,” menurut kenyataan itu. 

Acara utama, iaitu AHCDIS dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mei di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, menampilkan penyelesaian pembiayaan inovatif untuk menyokong akses inklusif kepada pembangunan kemahiran serta mobiliti bakat.

Untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025, AHCDIS dan semua acara utama, layari portal rasmi di www.aseanyearofskills.org.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan