AM

JPM BERI MANDAT KEPADA UNIMAP UNTUK SELARAS PELAKSANAAN PROJEK SOLAR MADANI DI SABAH

20/05/2025 06:30 PM

KANGAR, 20 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan mandat oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menyelaras pelaksanaan Projek SOLAR MADANI di seluruh Sabah, melibatkan pemasangan hampir 4,000 unit lampu solar di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata pelaksanaan projek berimpak tinggi itu sejajar dengan hasrat negara menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan memperluas akses pencahayaan di kawasan yang kurang mendapat kemudahan infrastruktur asas.

“Sebagai universiti teknikal yang berpaksikan penyelesaian inovatif, UniMAP amat berbesar hati diberi tanggungjawab ini yang kita percaya akan memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar melalui penggunaan teknologi tenaga hijau yang mesra alam.

“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja mengangkat peranan universiti sebagai pemacu pembangunan lestari malah membolehkan penglibatan komuniti akademik menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata fasa pertama program itu dimulakan dengan projek rintis di Tawau yang melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar di beberapa kampung, yang dikenal pasti menerusi hasil kolaborasi strategik antara UniMAP dan JPM selain penglibatan aktif komuniti setempat termasuk aspek penyelenggaraan dan penjagaan fasiliti.

“UniMAP juga bertanggungjawab melaksanakan pemantauan berterusan, audit teknikal serta sokongan penyelenggaraan agar lampu solar dipasang berfungsi secara optimum dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu turut melibatkan pelajar dan penyelidik dalam kerja lapangan selari pendekatan universiti menyepadukan ilmu dengan amalan sebenar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan