AM

FAMA FEST 2025@PERAK SASAR RM3 JUTA NILAI JUALAN

20/05/2025 09:06 PM

GOPENG, 20 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta sempena penganjuran FAMA Fest 2025@Perak pada 29 Mei hingga 2 Jun ini, di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini.

Pengarah FAMA Perak Azleena Zainal Abidin berkata program yang menjadi antara festival agromakanan terbesar di Perak itu, menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung daripada pelbagai golongan.

“Ini merupakan kali ketujuh kita anjurkan FAMA Fest, pada tahun lepas nilai jualan untuk festival sama yang kita anjurkan berjumlah RM2.67 juta, dengan kehadiran sekitar 120,000 pengunjung.

“Jumlah nilai jualan yang disasarkan pada tahun ini juga mampu dicapai berdasarkan beberapa promosi dan tawaran istimewa melibatkan jualan produk makanan, pertanian, padanan perniagaan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

FAMA Fest bagi edisi kali ini, akan menggabungkan kerjasama melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (Perak SADC) dan sebagainya.

Azleena berkata program yang akan dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada 1 Jun ini, turut melibatkan penyertaan 120 usahawan terdiri dalam kalangan anak jati negeri.

“Antara tarikan utama FAMA Fest kali ini ialah 400 jenis menu makanan unik daripada pelbagai negeri akan disajikan termasuk Rendang Tok Mak Nik, Miker Pizza, Laksa Buyong, Nasi Kambing Perap, Roti John Cheese dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan KPDN bagi melaksanakan Jualan Agro MADANI serta Jualan Rahmah, yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi pembelian produk terpilih. 

“FAMA juga akan mengadakan promosi jualan hasil segar tempatan seperti Nenas MD2, jagung, golden melon, strawberi, mangga chokanan, limau bali, belimbing dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya FAMA Fest yang dianjurkan itu juga bukan sahaja berpotensi membuka peluang kepada usahawan menjana pendapatan, malah memperkukuh hubungan antara usahawan, pengunjung serta agensi yang terlibat secara langsung.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan