KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Aidil Sholeh Ali Sadikin membuktikan beliau lebih selesa bergerak sendiri bersama jurulatih Nova Armada, apabila berjaya menembusi kelompok 50 pemain terbaik dunia.
Pemain berusia 25 tahun yang kini menghuni ranking ke-48 itu mengakui, peningkatan prestasi beliau didorong oleh sentuhan jurulatih dari Indonesia yang sedia membimbingnya setelah tidak lagi berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas digugurkan tahun lepas.
“Sudah setahun saya keluar dari BAM. Saya lebih yakin di luar dan sekarang, ranking saya semakin naik manakala persembahan saya juga agak bagus.
“Sebelum saya keluar (dari BAM) dia (Nova) ada hubungi saya, dia nak ambil saya. Dia percaya saya boleh pergi jauh. Itu peluang yang terbaik (kembali tingkatkan prestasi),” katanya kepada pemberita pada Masters Malaysia 2025 di sini hari ini.
Aidil Sholeh merangkul gelaran pertamanya sejak menjadi pemain profesional apabila mengungguli Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025, menewaskan wakil India Pranay Katta 21-19, 21-15.
Menurut Aidil Sholeh, bergelar pemain profesional memberinya peluang menjadi rakan sepelatih pemain ternama dunia antaranya Chou Tien Chen dari Taiwan dan Brian Yang dari Kanada sekiranya mereka berada di Malaysia.
Bagi masa depan, Aidil Sholeh menyasarkan untuk berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia pada hujung tahun ini sekali gus memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam lebih banyak kejohanan peringkat tinggi.
Terdahulu, perjalanan Aidil Sholeh pada penampilan ketiganya di Masters Malaysia terhenti selepas tewas kepada Huang Yu Kai dari Taiwan 21-8, 17-21, 18-21 pada pusingan kelayakan.
Beliau mengakui kecewa dengan persembahan di kejohanan berstatus Super 500 itu, lebih-lebih lagi beliau telah menguasai set pertama, sebelum kecundang dalam dua set berikutnya.
“Saya memang tidak puas hati. Pada set kedua itu, saya akui (permainan) tidak menjadi hingga menjejaskan fikiran saya,” katanya.
-- BERNAMA