EKONOMI

MITI BEKERJA KERAS TARIK LEBIH BANYAK PELABURAN BERKUALITI - TENGKU ZAFRUL

20/05/2025 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bekerja keras untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti terutamanya dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, hasilnya eksport E&E negara kekal kukuh dan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus bagi suku pertama 2025.

Menurutnya, ramai pelabur dari dalam dan juga luar negara yakin dengan potensi Malaysia dan meneruskan projek mereka di negara ini.

"Bila pelaburan masuk, kilang buka, eksport meningkat. Ini bermakna lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, lebih banyak peluang perniagaan untuk syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita.

"Memang ada cabaran di peringkat global, macam isu tarif timbal balas di Amerika Syarikat (AS), tapi kita di MITI sentiasa pantau dan ambil langkah perlu untuk pastikan perniagaan kita terus berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya menerusi perkongsian video di laman instagram beliau, hari ini.

Tengku Zafrul berkata selain berunding dengan AS, strategi kementeriannya adalah untuk mencari dan mengembangkan pasaran baharu bagi menjual barangan buatan Malaysia serta menguatkan ekonomi tempatan.

"Inilah reformasi Ekonomi MADANI. Fokus kita nak pastikan ekonomi ini stabil, wujudkan lebih banyak peluang kerja dan perniagaan yang bagus dan bantu rakyat hadapi kos sara hidup.

"Kerajaan akan terus bekerja keras untuk pastikan ekonomi kita terus tumbuh, stabil dan hasilnya dapat dinikmati oleh semua rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan