AM

FAKTOR CUACA CABARAN PEMBANGUNAN PROJEK MIKROALGA DI SARAWAK

20/05/2025 11:59 AM

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Keadaan cuaca tidak menentu yang boleh menimbulkan kesan berterusan terhadap kitaran pertumbuhan mikroalga merupakan antara cabaran dalam membangunkan projek tumbuhan berkenaan di Sarawak.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata situasi berkenaan memerlukan pemerhatian dan pemantauan berterusan bagi memastikan kitaran pertumbuhan yang berkesan.

"Selain itu, projek ini memerlukan pelaburan tinggi dalam penggunaan teknologi seperti AI Sensor bagi menggantikan tenaga manual dalam pengendalian proses penghasilan mikroalga berkualiti tinggi," katanya ketika menjawab soalan Friday Belik (GPS-Krian) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dr Hazland berkata cabaran lain turut dihadapi adalah untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan terhadap bahan mentah bio.

Bagi menjawab soalan tambahan, Dr Hazland berkata syarikat dan individu tempatan digalakkan untuk menyertai industri mikroalga dengan melabur dalam penanaman dan penuaian.

Beliau berkata syarikat dan usahawan tempatan juga boleh menceburi bidang pengeluaran minyak alga mentah di samping membangunkan biojisim alga untuk pelbagai produk seperti makanan haiwan, produk nutraseutikal dan farmaseutikal.

"Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa skala ekonomi yang sesuai untuk pelaburan projek adalah penting untuk menjadikannya berdaya maju dan lestari," katanya.

Selain mikroalga, beliau berkata SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), juga sudah merancang untuk meneroka sumber lain bagi tujuan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF). 

"Antara sumber boleh dijadikan pilihan ialah minyak masak terpakai, rumpai laut, sisa pertanian dan biojisim," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan