AM

SARAWAK PAMER PRESTASI CEMERLANG DI PERINGKAT GLOBAL – TUN WAN JUNAIDI

19/05/2025 12:36 PM

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Sarawak terus menunjukkan prestasi cemerlang di pentas nasional dan antarabangsa walaupun berdepan cabaran ekonomi global, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata walaupun konflik geopolitik, revolusi teknologi, perubahan iklim, dan perang tarif global memberikan kesan langsung kepada ekonomi negeri namun Sarawak berada di landasan yang kukuh untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Langkah proaktif yang diambil Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg amatlah dipuji. Usaha beliau meneroka tenaga hijau, teknologi digital, dan inovasi membuka lembaran baharu ekonomi Sarawak bukan sahaja di dalam negeri malah di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.

Wan Junaidi turut menyifatkan usaha Kerajaan Sarawak membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah tepat dan berpandangan jauh dalam menghadapi perubahan iklim global.

“Ini bukan sahaja membantu menangani cabaran perubahan iklim malah mampu menjadikan Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’ selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid untuk menyediakan tenaga bersih di rantau ini.

“Saya juga gembira kerana Sarawak kini memulakan langkah pengurusan sisa buangan yang merangkumi penjanaan tenaga atau dikenali sebagai sisa kepada tenaga. Saya yakin usaha ini akan meningkatkan pengurusan sisa yang lebih mampan dan menjana pendapatan kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Sarawak kini semakin menonjol sebagai wilayah progresif di Malaysia dengan kestabilan politik, dasar ekonomi yang kukuh dan pengurusan kewangan yang berhemat.

“Di peringkat antarabangsa, Sarawak kini semakin dikenali dan mendapat perhatian sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam bidang ekonomi baharu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan