KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diharapkan akan terus unggul sebagai sumber rujukan berita diyakini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Harapan itu dizahirkan beliau di platform media sosial X, sempena ulang tahun Bernama ke-58 hari ini.
“Selamat Ulang Tahun Bernama ke-58. Semoga Bernama terus unggul sebagai sumber rujukan berita diyakini dengan memperkukuh penyampaian maklumat berintegriti demi kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.
Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Bernama menerusi perkhidmatan berita wires, saluran televisyen dan radio serta platform digital, memberi khidmat berlandaskan objektif penubuhannya dengan menyedia, menyebarluaskan berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional.
-- BERNAMA