JENAYAH & MAHKAMAH

PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA BERI PERNYATAAN PALSU KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT 

19/05/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai pelantikan, peletakan jawatan dan pemindahan saham, tiga tahun lepas.

Juliana Jamian, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, wanita itu didakwa membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai pelantikannya sebagai pengarah syarikat UTS Maju Construction Sdn Bhd dan peletakan jawatan Wali Ullah Khan sebagai pengarah syarikat sama, menerusi Borang Seksyen 58 bertarikh 30 Sept 2022. 

Juliana juga didakwa membuat pernyataan palsu kepada pendaftar syarikat mengenai pemindahan saham sebanyak 299,998 unit daripada Wali Ullah Khan kepada dirinya, menerusi Borang Seksyen 51 bertarikh 8 Okt 2022.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Menara SSM@Sentral, di KL Sentral di sini pada 30 Sept 2022 dan 8 Okt 2022.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, Juliana didakwa mengikut Seksyen 593 (b) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SSM Farieza Hazreen Salehuddin mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, manakala peguam Muhamad ‘Aizat Adli Zalil yang mewakili OKS, memohon jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh membenarkan OKS diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan