AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI GERAKKAN JELAJAH KEMPEN INTERNET SELAMAT KE ZON UTARA

19/05/2025 02:25 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggerakkan jelajah Kempen Internet Selamat ke sekolah-sekolah di Zon Utara sebagai usaha memperkukuh keselamatan dalam talian dan membina komuniti digital yang berdaya tahan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka di sini menjadi lokasi permulaan jelajah itu bagi Zon Utara yang kemudiannya akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di zon berkenaan.

“Kita bermula di SK Ulu Melaka, tapi nanti akan ke 21 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah di seluruh daerah Langkawi.

“Niatnya untuk menyampaikan mesej terutama kepada pelajar-pelajar sekolah rendah untuk tidak bermain media sosial dan menerapkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang manfaat dan bahaya media sosial dan internet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya MCMC Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata program jelajah itu akan diperluaskan ke zon-zon lain selepas ini seterusnya dapat menyantuni kesemua lebih 10,200 sekolah di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

“Ia bukan perkara yang mudah tapi saya telah minta supaya pihak MCMC manfaatkan hubungan bersama dengan NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional). Kita ada 1,099 NADI di seluruh negara dan ada 1,878 Komuniti Madani bawah Jabatan Penerangan di seluruh negara. 

“Kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)… dengan Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi awam untuk digerakkan membantu menyantuni sekolah-sekolah sebagai permulaan,” katanya.

Lebih 1,800 peserta, termasuk pelajar daripada 22 sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti serta wakil pelbagai agensi berkepentingan menyertai program pada hari ini.

Kempen itu merupakan kesinambungan usaha memperkasakan literasi digital dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja dalam menangani cabaran buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak.

Sepanjang tahun ini lebih 100,000 peserta di seluruh wilayah utara merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka terlibat dalam kempen berkenaan.

Sebelum ini SK Bidor 2 di Tapah, Perak menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan kempen tersebut yang dilancarkan pada 10 April lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan