DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

19/05/2025 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam mod penyatuan pada tengah hari dalam persekitaran aliran menurun di bursa serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 16.19 mata atau 1.03 peratus kepada 1,555.56 daripada 1,571.75 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.18 mata lebih rendah kepada 1,566.57 dan bergerak antara 1,553.86 dengan 1,566.57 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 835 berbanding 152 manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,051 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.47 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan penurunan seterusnya di Bursa Malaysia dalam keadaan pasaran yang lebih lemah di Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, kami percaya sebarang perkembangan untuk meredakan perang perdagangan boleh menjadi pemangkin utama untuk peningkatan selanjutnya di Wall Street," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.49 peratus kepada 23,230.95, Indeks Straits Times Singapura susut 0.16 peratus kepada 3,891.46 dan Nikkei 225 Jepun merosot 0.69 peratus kepada 37,499.21.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.01, Maybank dan Public Bank turun 2.0 sen masing-masing kepada RM10.12 dan RM4.48, manakala TNB merosot 14 sen kepada RM14.06, CIMB berkurangan 8.0 sen kepada RM7.10 manakala CelcomDigi menguncup 5.0 sen kepada RM3.92.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle dan NexG tidak berubah masing-masing pada 18 sen dan 37.5 sen, SFP Tech turun 2.5 sen kepada 23 sen, RGB International merosot 2.0 sen kepada 34.5 sen manakala MYEG menguncup 1.5 sen kepada 90.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 147.84 mata kepada 11,598.20, Indeks FBMT 100 jatuh 138.79 mata kepada 11,353.91 dan Indeks FBM Emas Shariah kurang 163.14 mata kepada 11,511.04.

Indeks FBM 70 merosot 282.88 mata kepada 16,419.53 dan Indeks FBM ACE menguncup 99.23 mata kepada 4,666.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 138.25 mata kepada 18,349.40, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 3.40 mata kepada 156.28, Indeks Tenaga jatuh 19.30 mata kepada 710.08 dan Indeks Perladangan susut 43.95 mata kepada 7,341.64.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan