AM

KEMPEN INTERNET SELAMAT DI 344 SEKOLAH - TEO

18/05/2025 06:14 PM

SERDANG, 18 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan menjelajah ke 344 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara melalui Kempen Internet Selamat sepanjang Mei hingga Ogos ini, dalam usaha memupuk kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata setakat ini, kempen berkenaan berjaya dilaksanakan di sembilan sekolah rendah.

“Hasrat kami adalah untuk pergi ke sebanyak mungkin sekolah rendah, sekolah menengah dan juga kampus universiti.

“Jika pihak sekolah atau universiti berminat … bolehlah hubungi pihak kementerian. Memang semua sekolah di Malaysia adalah sasaran kami, tetapi bergantung kepada kerjasama pihak sekolah sama ada mereka izinkan kami masuk atau tidak,” katanya pada program Diabetes Day 2025 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, 

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah melantik 196 pelatih di bawah program Train the Trainers yang bertindak selaku jurucakap semasa pelaksanaan Kempen Internet Selamat dan akan berkongsi kepada peserta mengenai buli siber, keselamatan dalam talian dan lain-lain lagi mengikut kesesuaian usia mereka.

“Kita akan mereka bentuk pengisian modul kursus itu mengikut usia peserta. Bagi sekolah menengah mungkin kita berkongsi dengan mereka bagaimana untuk tidak menyalahgunakan teknologi dan bagi pelajar di kampus pula mungkin kita akan fokus kepada job scam,” katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan kempen berkenaan dilaporkan bakal diadakan di lebih banyak sekolah rendah, dan menengah serta universiti awam di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Diabetes Day 2025 anjuran UPM menerusi Asian Medical Students’ Association – UPM diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan holistik terhadap penyakit diabetes dengan komuniti.

Program bertemakan ‘Positive Steps Towards Health’ itu memberi tumpuan kepada aspek pencegahan diabetes, inovasi dalam kesihatan digital serta pemerkasaan ekonomi dan kepimpinan wanita.

Teo turut menjadi seorang daripada panel dalam forum khas mengenai hubungan antara Kesihatan Digital dan Kepimpinan Wanita.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan