AM

MENANG PINGAT EMAS DI KAZAN, MUHAMAD SUFI IRFAN ANGKAT KEUNGGULAN KULINARI MALAYSIA 

18/05/2025 10:36 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN (TATARSTAN), 18 Mei (Bernama) -- Pelajar jurusan kulinari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang Muhamad Sufi Irfan Mohamad Rusdin, tidak menyangka percubaan pertamanya menyertai pertandingan memasak peringkat antarabangsa membawa tuah kepada beliau apabila diumumkan sebagai pemenang pingat emas kategori Confectionery Arts.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 23 tahun itu berjaya menewaskan peserta hebat dari 12 negara termasuk Arab Saudi, Azerbaijan, Tunisia, Turki, Rusia, Indonesia, Uzbekistan, Senegal, Kazakhstan, dan Iran pada pertandingan berprestij, Young Chef International Competition 2025 di Kazan, Tatarstan, Rusia baru-baru ini.

"Memang saya terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, jantung berdegup laju, tangan pun sedikit menggeletar sebab tidak sangka langsung.

"Saya sertai pertandingan untuk mencabar diri serta menguji kemampuan diri pada peringkat luar negara. Satu pengalaman baharu untuk saya, saya rasa sangat bersyukur dan terharu apabila menang, Allah Maha Besar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wartawan Bernama secara kebetulan bertemu dengan Muhamad Sufi Irfan di Kedutaan Rusia di Malaysia, Kuala Lumpur minggu lepas, ketika sedang membuat proses dokumentasi untuk liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow dan Kazan dari 13 hingga 16 Mei.

Sempat berbual seketika, wartawan memberi cabaran kepada anak muda itu untuk membawa pulang pingat emas, dan sejurus pertandingan berakhir semalam, Muhamad Sufi memaklumkan kepada Bernama bahawa beliau berjaya menyahut cabaran itu.

Ternyata, menu gabungan Malaysia dengan sentuhan gaya barat berasaskan makanan laut dengan suntikan tradisional Melayu yang dihasilkan beliau berjaya memikat hati juri pada pertandingan yang diadakan bersempena dengan World Islamic Kazan Forum 2025 yang berlangsung di Kazan dari 14 hingga 16 Mei itu.

Pada pertandingan itu, Muhamad Sufi Irfan menyediakan Ikan Kod Goreng Rangup dengan Salad Tomato dan Basil bersama Sos Lemon (pembuka selera); Tenderloin Daging Lembu Marmar disajikan dengan Jus Kari, Sayur bersama Cendawan Kukur Tempatan dan Kentang Rosti (hidangan utama); serta Bingka Labu, Sos Oren Mandarin bersama Mousse Coklat, Buah-Buahan Segar dan Hiasan Gula (pencuci mulut).

Beliau berkata antara syarat pertandingan ialah peserta perlu menggabungkan bahan mentah yang diperoleh di Kazan seperti ikan kod, daging, minyak masak, tepung, sayuran dan buah-buahan tempatan dengan masakan yang dihasilkan.

Muhamad Sufi Irfan berkata sebaik mengetahui mengenai pertandingan ini daripada pensyarah dan fakulti, beliau teruja untuk mencuba nasib manakala pilihan menu dibuat dan diilhamkan dua pensyarahnya yang bertindak selaku Pengurus Pasukan di UiTM Pulau Pinang.

"Menu ini juga ada sentuhan tradisional Melayu yang saya mahu ketengahkan supaya juri dapat merasai keaslian serta kreativiti dalam hidangan saya," katanya yang minat memasak sejak kecil.

Tidak dapat dinafikan, Muhamad Sufi Irfan berkata perasaannya agak gemuruh dan tertekan apabila berdepan sedikit cabaran ketika pertandingan, malah turut panik dan cemas melihat masa yang seolah-olah begitu cepat berlalu.

"Tekanan paling kuat semasa pertandingan ialah untuk mengawal masa dan emosi. Kadang-kadang apabila ada gangguan atau rasa tidak cukup masa, saya mula panik, namun saya cuba bertenang dan fokus satu per satu.

"Alhamdulillah semua mengikut perancangan, apa yang saya latih, itulah yang saya buat di dapur pertandingan," katanya yang membuat persiapan kira-kira dua minggu sebelum pertandingan bermula terdiri daripada cara pengurusan masa, memasak, dan menguji rasa supaya hidangan seimbang dan persembahan menarik.

Muhamad Sufi Irfan berkata pengalaman beliau menyertai beberapa pertandingan makanan sebelum ini di Malaysia juga memberi semangat dan keyakinan untuk bertanding di Kazan, di samping menyifatkan kemenangan kali ini menjadikannya lebih bermotivasi untuk terus berjaya dalam bidang kulinari.

"Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan Melaka Culinary Challenge 2023 dan memenangi pingat gangsa serta Battle of The Chef Di Spice Arena Pulau Pinang pada 2024. Insya-Allah kalau ada rezeki dan peluang saya ingin memasuki lebih banyak pertandingan kerana ia satu cara untuk mengasah bakat dan belajar daripada orang lain," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang memberi tunjuk ajar, keluarga yang sentiasa menyokong dan rakan-rakan yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

"Terima kasih juga kepada sahabat baik saya, Ramadhan Suhaimi yang selalu menemani saya berlatih memasak di dapur hingga awal pagi," katanya yang merancang menyambung pengajian hingga peringkat Doktor Falsafah untuk menggapai cita-cita bergelar cef pensyarah di UiTM satu hari nanti.

Dalam pada itu, kedatangan Muhamad Sufi Irfan ke Kazan ditemani Timbalan Presiden Persatuan Gastronomi Malaysia Penolong Profesor Cef Fadzly Che Omar yang turut dijemput menjadi juri cef profesional antarabangsa dalam pertandingan berkenaan.

Fadzly berkata pertandingan terbabit menjadi platform untuk mengetengahkan bakat kulinari serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam kalangan negara Islam.

"Kejayaan Muhamad Sufi Irfan memenangi pingat emas bukan sahaja menyerlahkan bakat luar biasa yang dilahirkan oleh institusi kulinari negara, tetapi juga membuktikan pengaruh gastronomi Malaysia yang semakin berkembang di pentas dunia," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan