AM

PENGENDALIAN DRON TANPA PERMIT DILARANG SEPANJANG SIDANG KEMUNCAK ASEAN – CAAM

17/05/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata sebarang pengendalian dron tanpa permit adalah dilarang sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata sekatan atau larangan pengendalian dron tanpa permit kekal seperti peraturan sedia ada yang tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“Zon larangan terbang dron berbeza dengan zon larangan terbang pesawat udara, iaitu sebarang pengendalian dron di kawasan sekitar KLCC atau di mana-mana lokasi sekalipun perlu memperoleh permit terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata CAAM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tujuan pengawasan, kawalan serta penyelarasan aktiviti penerbangan yang melibatkan unsur keselamatan dan ketenteraman awam.

“CAAM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi sebarang aktiviti penerbangan dron di dalam negara. 

“Kerjasama ini penting bukan sahaja dalam konteks kawalan ruang udara, tetapi juga memastikan setiap penerbangan yang beroperasi di Malaysia mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Norazman berkata lokasi berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC tidak termasuk dalam zon larangan terbang pesawat udara. 

“Sebarang sekatan atau larangan penerbangan pesawat kekal di kawasan telah digazetkan dan diumumkan secara rasmi melalui dokumen Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) dan notis kepada juruterbang (NOTAM),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan