SHAH ALAM, 17 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kontena selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di sekitar perairan Sekinchan semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal kontena yang berdaftar di Liberia itu dikendalikan kapten warga Rusia berumur 44 tahun bersama 23 kru pelbagai warganegara berusia antara 32 hingga 50 tahun.
Beliau berkata kapal berkenaan ditahan kira-kira 1.20 tengah hari pada kedudukan 22.5 batu nautika barat daya Sekinchan berikutan maklumat daripada Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Sistem Pengawasan laut (SWASLA) Klang sekitar 9.20 pagi yang mengesan kedudukan kapal dalam keadaan mencurigakan.
“Semakan dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan kapal kontena itu tidak memohon kebenaran untuk bersauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan terhadap kesemua individu yang terlibat mendapati mereka mempunyai dokumen pengenalan yang lengkap namun kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.
“Kapal berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Perintah penahanan telah dikeluarkan manakala kapten kapal bersama seorang pegawai bahagian kejuruteraan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA