PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama menyasarkan untuk meraih sebanyak RM560 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).
Paradigm REIT dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas penyenaraian yang dijadualkan pada 10 Jun, 2025, ia dijangka mencapai anggaran permodalan pasaran sebanyak RM1.6 bilion berdasarkan harga terbitan ilustrasi RM1 seunit tawaran dan jumlah penyenaraian 1.6 bilion unit.
“IPO Paradigm REIT bakal menjadi IPO REIT terbesar di Malaysia dalam tempoh 13 tahun dan salah satu daripada IPO terbesar di Malaysia pada 2025.
“Ini menunjukkan keupayaan dan perkembangan pasaran modal ekuiti di Malaysia bagi menyokong peningkatan modal yang besar walaupun ketidaktentuan pasaran yang timbul daripada perang perdagangan yang berterusan,” katanya.
Katanya, IPO itu menyediakan peluang kepada pelabur dan pemegang unit untuk melabur dalam pelaburan hartanah yang menawarkan agihan pendapatan yang stabil dan potensi peningkatan modal ke atas pelaburan bagi unit itu, dan membolehkan Paradigm REIT mendapat akses kepada pasaran modal bagi memperoleh dana bagi pemerolehan hartanah pada masa depan.
Sementara itu, Pengarah Pelaburan, Kewangan dan Akaun Paradigm REIT Management Sdn Bhd Chong Kian Fah berkata beliau yakin bahawa REIT boleh mencapai anggaran permodalan pasarannya, di tengah-tengah pergolakan pasaran, dan mengklasifikasikan REIT sebagai saham defensif.
Katanya, IPO Paradigm REIT berbeza daripada IPO biasa dan lebih mirip kepada pelaburan jenis pendapatan tetap, ditambah pula dengan prestasi REIT.
“Ketika ini, ada beberapa penanda aras yang boleh digunakan untuk menentukan sama ada aset adalah kompetitif.
“Pertama, ialah penghunian, iaitu penghunian pusat beli belah yang secara purata, hampir 99 peratus.
“Kedua, margin pendapatan hartanah bersih (NPI) kami. Jadi, bagi tahun lepas margin NPI kami hampir kepada 64 peratus.
“Kami menyasarkan untuk mencapai 26 peratus tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus di sini, hari ini.
Ketika ini, Paradigm memiliki Pusat Beli-Belah Bukit Tinggi, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru, dengan ketiga-tiga aset bernilai RM2.4 bilion.
Berdasarkan harga runcit RM1 seunit, unjuran agihan tahunan bagi 2025 melebihi tujuh peratus.
IPO itu terdiri daripada jumlah tawaran sehingga 560 juta unit tawaran, dan daripada jumlah itu 254.7 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit dan sekurang-kurangnya 305.3 juta unit ditawarkan kepada pelabur institusi.
“Tawaran runcit melibatkan kira-kira 32 juta unit tawaran bagi permohonan orang awam Malaysia, iaitu 16 juta unit dikhaskan bagi pelabur Bumiputera, 27.8 juta unit kepada individu yang layak, dan sehingga 194.86 juta unit kepada pemegang saham WCT Holdings Bhd yang berhak berdasarkan satu unit bagi setiap lapan saham sedia ada pada 5 petang pada tarikh kelayakan.
“WCT Holdings mengekalkan 65 peratus pemilikannya dalam Paradigm REIT secara tidak langsung menerusi pemegang saham utamanya.
“Manakala, tawaran institusi melibatkan 200 juta unit tawaran dikhaskan bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan bagi 105.3 juta unit tawaran untuk institusi lain dan pelabur terpilih,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Paradigm REIT Management Chua Kah Noi berkata empat aset iaitu Hyatt Place Johor Bahru Paradigm Mall, Le Meridien Petaling Jaya, Premier Hotel Klang dan Gateway@Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Terminal 2 akan disuntik ke dalam Paradigm REIT.
“Saya berpendapat kami menyasarkan untuk menyuntik semua hotel seawal 2026, bermula dengan tiga hotel dan seterusnya Gateway@KLIA2 pada 2027 atau 2028,” katanya.
-- BERNAMA