AM

RM162.42 JUTA DIPERUNTUK KEPADA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT SABAH

16/05/2025 03:53 PM

TUARAN, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM162.42 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta agensi di bawahnya tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan berjumlah RM76.29 juta dikhususkan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim, melalui pelbagai skim bantuan yang disasarkan secara khusus.

"Manakala RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan rakyat meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Selain itu beliau berkata RM550,000 disalurkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Hajiji berkata KPWKM juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat Sabah antaranya Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebanyak RM300,000 dan RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan 384 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musibah banjir di Sabah.

Ketua Menteri berkata tahun ini melalui Program Bantuan Kewangan Persekutuan kerajaan telah memperuntukkan bantuan RM330 juta, dengan RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengenai pelancaran PSSS Bergerak hari ini, Hajiji berkata inisiatif itu sebagai tindak balas tepat terhadap krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara apabila terdapat laporan Kementerian Kesihatan (KKM) lebih 5 juta rakyat negara ini mengalami kemurungan, kebimbangan dan tekanan termasuk peningkatan kes bunuh diri.

“PSSS mobile ini diharap mampu menjangkau masyarakat luar bandar dan memberi sokongan  psikososial yang amat diperlukan, termasuk untuk mereka yang terkesan dengan penceraian, penderaan, pengangguran dan beban kewangan,” katanya.

Program Kembara Kasih KPWKM 2025 melibatkan dua zon utama di Sabah iaitu Tuaran, Papar  dan Penampang (Zon 1) serta Lahad Datu, Kunak dan Tawau (Zon 2) menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang turun padang menyampaikan perkhidmatan kebajikan secara menyeluruh kepada rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan