KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menzahirkan penghargaan kepada guru yang terus komited dan berdedikasi untuk memastikan generasi muda negara mendapat pendidikan terbaik.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Guru ke-54 hari ini, beliau berkata golongan berkenaan tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran dalam mendidik seperti jalan raya kurang baik, masalah bekalan air dan elektrik, mengajar di kawasan pedalaman serta jauh daripada keluarga tersayang.
"Semua cabaran ini tidak mematahkan semangat pendidik kita kerana mereka amat komited dan berdedikasi untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik di mana sahaja mereka berada," katanya.
Dalam menghadapi cabaran itu, Wan Junaidi percaya Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempunyai perancangan yang menitikberatkan hal ehwal guru di seluruh Malaysia dan mengambil inisiatif sesuai untuk memastikan golongan itu menikmati kemudahan lengkap, khususnya yang mengajar di kawasan luar bandar.
"Apa yang penting ialah penghargaan dan apresiasi yang ikhlas kepada mereka. Mereka adalah individu yang bukan sahaja mengajar membaca dan menulis, tetapi turut membentuk nilai, jati diri dan masa depan anak-anak bangsa,” katanya.
Wan Junaidi berkata sambutan Hari Guru pada setiap 16 Mei merupakan peluang yang amat signifikan untuk memberi penghargaan kepada segala jasa, khidmat bakti dan pengorbanan pendidik yang merupakan tonggak kepada aspek pendidikan untuk menjadi batu asas kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
"Tanpa mereka, anak-anak kita tidak akan memperoleh ilmu, tidak berpandangan jauh, tidak mampu menempuh cabaran masa kini dan mungkin tidak berupaya menempuh cabaran masa depan yang semakin mencabar ini," katanya.
Beliau berkata tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan" pada sambutan kali ini cukup relevan kerana menjurus kepada meningkatkan kualiti pendidikan melalui transformasi sistem yang berpusatkan guru sebagai nadi perubahan.
Selain menjadi penyampai ilmu, beliau berkata guru juga adalah ejen pembangunan minda dan pemacu kepada transformasi pendidikan yang lebih holistik khususnya dalam dunia digital dan berteknologi tinggi.
"Sebagai tanda ikhlas penghargaan murid-murid kepada guru, anjurlah majlis cara tersendiri untuk menyambut Hari Guru 2025 ini di sekolah masing-masing. Penghargaan dan apresiasi kepada para pendidik ini bolehlah dianjur dalam bentuk mengadakan majlis deklamasi atau kad ucapan daripada pelajar yang dipaparkan menerusi media sosial," katanya.
-- BERNAMA