ALOR SETAR, 15 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan insiden pelanggaran melibatkan bot pasukan keselamatan dengan sebuah bot pelancong ketika menjalani latihan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) di Langkawi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata insiden berlaku pada 4.34 petang, melibatkan bot dinaiki lima pegawai dan anggota sebuah pasukan keselamatan, dengan bot pelancong yang diikat berhampiran pantai.
“Dua anggota pasukan keselamatan berkenaan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Tiada sebarang kecederaan pada orang awam berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shariman berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu, yang turut tular di media sosial.
Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat, serta dinasihatkan menunggu kenyataan penuh pasukan keselamatan untuk maklumat tepat.
-- BERNAMA