DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN AKTIVITI AMBIL UNTUNG 

15/05/2025 06:46 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia susut daripada peningkatan semalam apabila ditutup rendah pada hari ini, susulan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini yang juga seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.49 mata atau 0.66 peratus kepada 1,573.02 daripada paras penutup semalam pada 1,583.51.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.76 mata kepada 1,582.75 namun sempat mencecah paras tertinggi 1,586.85 pada sesi dagangan awal sebelum susut diasak tekanan jualan dan turun pada 1,572.27 dalam sesi tengah hari.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 626 berbanding 459 manakala 453 kaunter tidak berubah, 856 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.71 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 4.20 bilion unit bernilai RM3.29 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantai kebanyakannya dalam aliran susut berikutan aktiviti pengambilan untung ketika optimis terhadap perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China kelihatan mereda.

Di peringkat domestik, beliau berkata aktiviti pengambilan untung hari ini dilihat dari sudut teknikal sebagai konsolidasi sihat yang membolehkan pasaran menerima reaksi lonjakan baru-baru ini selain membina asas lebih kukuh bagi aliran kenaikan yang lebih mapan.

“Kami kekal optimis namun berhati-hati dengan sokongan kehadiran semula belian asing dan peningkatan jumlah dagangan di pasaran," katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan pula menjangkakan pasaran ekuiti tempatan akan terus terikat dalam keadaan konsolidasi manakala sentimen pelabur berkemungkinan kekal berhati-hati menjelang pengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Malaysia, esok.

“Kami melihat sebarang penyatuan jangka pendek sebagai sihat dan membina dalam naratif pemulihan yang lebih luas," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing jatuh 10 sen kepada RM10.10 dan RM14.20, Public Bank turun dua sen kepada RM4.51, CIMB kehilangan lapan sen kepada RM7.16 manakala IHH Healthcare menguncup tiga sen kepada RM7.03.

Bagi saham aktif, SFP Tech menokok tiga sen kepada 26.5 sen, Ekovest dan Reach Ten masing-masing meraih empat sen kepada 39 sen dan 59 sen, Cahya Mata Sarawak menambah 10 sen kepada RM1.30 manakala Sapura Energy dan Harvest Miracle tidak berubah pada 4.5 sen dan 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 62.32 mata kepada 11,774.01, Indeks FBMT 100 turun 67.53 mata kepada 11,519.58 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 52.43 mata kepada 11,718.62.

Indeks FBM 70 merosot 61.73 mata kepada 16,811.18 dan Indeks FBM ACE susut 15.86 mata kepada 4,775.14.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 102.30 mata kepada 18,470.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.10 mata kepada 159.79, Indeks Tenaga menghilangkan 6.02 mata kepada 737.34 dan Indeks Perladangan naik 30.70 mata kepada 7,388.10.

Jumlah dagangan di pasaran Utama turun kepada 1.82 bilion unit bernilai RM2.40 bilion berbanding 2.08 bilion unit bernilai RM2.92 bilion.

Perolehan waran berkurangan kepada 1.35 bilion unit bernilai RM172.47 juta daripada 1.51 bilion unit bernilai RM18.96 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 537.16 juta unit bernilai RM169.20 juta daripada 612.45 juta unit bernilai RM191.76 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 285.88 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (272.49 juta), pembinaan (174.92 juta), teknologi (300.75 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (69.76 juta), hartanah (228.93 juta), perladangan (31.27 juta), REIT (16.37 juta), dana tertutup (7,500), tenaga (228.08 juta), penjagaan kesihatan (55.90 juta), telekomunikasi dan media (81.62 juta), pengangkutan dan logistik (26.91 juta), utiliti (46.46 juta) dan amanah perniagaan (21,100).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan