Kebergantungan tinggi industri penternakan negara pada import makanan ternakan merupakan antara cabaran terbesar sektor itu dalam membekalkan sumber protein pada harga yang berpatutan kepada rakyat.
Kenaikan harga bijirin utama seperti jagung dan kacang soya - komponen utama dalam makanan ternakan monogastrik dan ruminan - yang keseluruhannya diimport dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat, melonjakkan kos operasi penternak memandangkan makanan menyumbang lebih 60 peratus kepada kos berkenaan.
Kebergantungan pada sumber import ini tidak lagi mampan untuk diteruskan oleh negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan pasaran global semakin tidak menentu disebabkan oleh faktor-faktor seperti gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada perubahan iklim dan ketidakstabilan politik dunia.
Keperluan mendesak terhadap sumber alternatif tempatan yang lebih murah dan berterusan mendorong penyelidik melakukan kajian demi kajian, dan antara yang mendapat perhatian ialah betari (sorghum), iaitu sejenis tanaman bijirin tahan lasak dan mampu bertahan dalam cuaca panas kering melampau.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), penggunaan betari dalam makanan ternakan menunjukkan keputusan yang cukup positif kerana kandungan protein dan tenaganya setanding dengan jagung.
JIMAT KOS
Betari boleh digunakan dalam dua bentuk, iaitu sama ada sebagai bijirin ataupun foder. Namun bijirin tanaman ini mengandungi tanin yang bersifat astringen (bahan kelat) dan boleh menjejaskan pencernaan, menjadikan bahan itu kurang sesuai untuk ternakan monogastrik seperti ayam.
Bagaimanapun UPM berjaya membangunkan varieti Putra SB2 yang mempunyai banyak daun dengan kandungan karbohidrat dan gula yang tinggi, sesuai sebagai foder untuk ternakan ruminan seperti lembu dan kambing, menggantikan rumput napier.
pic-2
(Foder merujuk makanan ternakan seperti jagung, rumput dan protein tumbuhan yang dirumus khas untuk keperluan pemakanan haiwan, sama ada dalam bentuk kering, segar atau pelet. Dalam konteks ini, betari merupakan bahan foder yang menjanjikan kelebihan dari segi kos dan kemampuan penanaman tempatan, menjadikannya alternatif praktikal untuk jagung bijirin import.)
Dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini, ketua penyelidik Foder Sorgum UPM Dr Nazatul Shima Naharudin berkata varieti yang dibangunkan oleh pihaknya itu mempunyai beberapa kelebihan berbanding tanaman jagung bijirin dan rumput napier, antaranya ialah keperluan air yang sedikit.
“Selain itu, tidak seperti tanaman jagung, Putra SB2 berkeupayaan tumbuh kembali hingga tiga kali tanpa perlu dibajak semula tanah selepas setiap penuaian. Secara langsung ini dapat mengurangkan kos pengurusan ladang dan menjimatkan masa.
“Jadi, Putra SB2 ini boleh dilihat sebagai satu solusi tempatan yang mampan dan lebih stabil dari segi kos,” jelas Nazatul Shima yang juga penyelidik bersekutu Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS).
Menurut beliau lagi, Putra SB2 dapat dituai seawal 60 hari selepas ditanam berbanding 90 hari yang diperlukan untuk tanaman jagung foder.
“Ini membolehkan pusingan tanaman yang lebih cepat dan penggunaan tanah lebih efisien. Dari segi amalan agronomi pula, tanaman betari Putra SB2 ini turut boleh bertahan dalam keadaan baja yang minimum. Dari segi penghasilan per hektar, Putra SB2 boleh menghasilkan hampir 70 tan sehektar semasa tuaian,” tambah beliau.
PEMERKASAAN PENTERNAK MELALUI PENGETAHUAN DAN INOVASI
Sementara itu, Pengarah ITAFoS UPM Prof Dr Anjas Asmara Samsudin berkata dari segi kandungan nutrien, betari Putra SB2 boleh dikatakan setanding dengan jagung bijirin namun lebih kaya zat berbanding rumput napier.
“Cuma yang penting di sini ialah penternak perlu faham bila dan bagaimana hendak memanfaatkan betari secara optimum dalam kitaran penternakan mereka,” jelasnya, menambah penternak perlu diberikan pengetahuan dan latihan tentang penanaman serta pengurusan tumbuhan itu.
pic-3
Dalam konteks ini katanya, dukungan dan sokongan agensi kerajaan serta institusi berkaitan amat penting bagi memastikan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik itu dapat dimanfaatkan secara meluas dalam industri penternakan negara.
“Inovasi ini juga selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh jaminan makanan negara melalui peningkatan pengeluaran tempatan. Kita tidak boleh terlalu bergantung pada bahan makanan ternakan import kerana ia menjadikan industri kita rapuh terhadap krisis luaran seperti perang atau pandemik,” tambah beliau lagi.
CABARAN DALAM PENGGUNAAN BETARI
Walaupun manfaat betari jelas, terdapat beberapa cabaran dalam penggunaan tanaman itu sebagai bahan foder utama di negara ini, antaranya ialah sikap penternak yang keberatan untuk mengubah cara mereka, kata Anjas Asmara.
“Banyak penternak yang dilihat masih lebih selesa menggunakan jagung kerana mereka sudah terbiasa dengannya. Sorghum memerlukan teknik pengurusan yang sedikit berbeza, dan ini boleh menjadi halangan kepada penternak yang kurang terdedah kepada teknologi baharu,” gusarnya.
pic-4
Selain itu, pembekalan benih betari yang mencukupi di pasaran tempatan juga menjadi isu. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan dan agensi pertanian perlu menyediakan lebih banyak sokongan seperti menawarkan benih berkualiti, latihan kepada penternak serta insentif kewangan bagi memperluas penggunaan betari.
Sementara itu, Nazatul Shima berkata penyelidikan berterusan terhadap betari sangat penting untuk memastikan tanaman tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam industri penternakan.
Penghasilan varieti baharu seperti Putra SB2 sebenarnya memberi harapan kepada penternak dalam mengawal kos pengeluaran mereka yang secara langsung akan mengurangkan harga di peringkat pengguna akhir, katanya.
Untuk itu, UPM kini giat menjalankan kerjasama dengan agensi pertanian dan sektor swasta bagi memastikan inovasi baharu tersebut dapat disebarluaskan ke seluruh negara.
“Kita bukan sahaja sediakan benih, tapi juga modul latihan kepada penternak supaya mereka benar-benar faham potensi dan cara pengurusan tanaman ini,” ujarnya, menambah dengan adanya kolaborasi antara kerajaan, penyelidik dan industri, penggunaan betari dapat menjadi alternatif yang lebih mampan dan efisien dalam jangka panjang.
SUMBANGAN KEPADA KELANGSUNGAN PENTERNAKAN
Melihat ke depan, penggunaan betari dalam industri penternakan Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan kos, tetapi juga memberi impak positif kepada kelangsungan sektor pertanian, kata Nazatul Shima.
Menurut beliau, dengan sifat yang tahan lasak dan keupayaan untuk tumbuh semula secara berterusan, betari dilihat dapat mengurangkan kesan perubahan iklim ke atas rantaian bekalan makanan ternakan.
pic-5
Selain itu, penggunaan betari secara meluas juga dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara, terutamanya dalam usaha mengurangkan import bahan makanan ternakan.
“Sebagai kesimpulannya, kami berpandangan tanaman sorghum bukan sahaja boleh dijadikan alternatif yang berpotensi tinggi untuk mengurangkan kos penternakan, tetapi juga dapat menyumbang kepada transformasi sektor pertanian Malaysia yang lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.