AM

NCTF BIAYA 117 PROJEK KONSERVASI LIBAT PERUNTUKAN RM22.59 JUTA

04/05/2025 04:23 PM

BUKIT MERTAJAM, 4 Mei (Bernama) -- Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah membiayai 117 projek konservasi melibatkan peruntukan RM22.59 juta, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 72 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dengan komitmen pembiayaan RM6.59 juta manakala 35 lagi telah selesai dengan peruntukan RM14.2 juta.

“Satu daripada projek yang telah selesai ialah Conservation of Seladang in the Royal Belum State Park (RBSP) - Temenggor Forest Reserve Complex, dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan Borneo Rhino Alliance (BORA) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), telah diangkat ke mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Kedua (MBN ke-2).

“Mesyuarat itu telah mengiktiraf seladang sebagai spesies terancam yang mempunyai kepentingan negara dan Pelan Pengurusan Konservasi Seladang akan dibangunkan bagi menstabilkan populasi haiwan itu,” katanya dalam ucapan penutup Bengkel Eksplorasi Biologi (Avian) bersama Komuniti Seberang Perai di Cheruk Tokun di sini hari ini.

Teks ucapan Nik Nazmi dibacakan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Ismail Parlan. Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) Sulaiman Salikan.

Bengkel itu dilaksanakan hasil kerjasama antara Think City selaku penyumbang dana melalui Geran Pekan Seberang Perai dengan NEST selaku pelaksana serta Majlis Bandaraya Seberang Perai yang memberi sokongan dari segi perancangan bandar lestari.

Nik Nazmi berkata data Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan Perhilitan mendapati burung yang telah pupus sekitar 1960-an ialah merak hijau (Pavo muticus) manakala spesies yang berdepan ancaman kepupusan ialah kuang gunung (Malayan crested argus) serta merak gunung (mountain peacock).

Beliau berkata punca kepupusan ialah kehilangan habitat akibat pembalakan dan pembangunan, perdagangan haram burung eksotik serta pemburuan dan pemeliharaan haram sebagai haiwan peliharaan.

“Malaysia mempunyai 814 spesies burung dan daripada jumlah itu, 697 terdapat di Semenanjung manakala 55 spesies adalah endemik dengan 48 daripadanya di Borneo (Sabah dan Sarawak).

“Burung berperanan penting dalam menjaga keseimbangan alam sekitar, antaranya ia bertindak sebagai indikator kesihatan ekosistem dan jumlah serta jenis burung di sesuatu kawasan menunjukkan keadaan kawasan itu sihat atau tercemar,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Avian Dr Siti Norasikin Ismail berkata NEST sebelum ini telah bekerjasama dengan Shorebirds Peninsular Malaysia Project dalam menjalankan aktiviti pemerhatian burung pantai dan usaha itu telah menarik perhatian peminat serta pengkaji burung dari pelbagai latar belakang, sekali gus menyemarakkan industri pemerhatian burung di Seberang Perai.

Beliau berkata sebagai langkah seterusnya bagi melengkapkan senarai spesies burung yang terdapat di Seberang Perai, NEST memulakan kajian menyenaraikan burung hutan di tiga lokasi utama iaitu Hutan Simpanan Kekal Bukit Panchor, Hutan Simpan Air Hitam dan Hutan Simpan Bukit Mertajam.

“Aktiviti itu penting untuk memahami biodiversiti tempatan dan mempromosikan kepentingan konservasi dalam kalangan komuniti setempat dan hasil dapatan kajian terbabit dikumpulkan serta disusun dalam bentuk pamplet bergambar dan video pendek yang akan diedarkan kepada masyarakat dan komuniti setempat.

“Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran, memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha konservasi,” katanya.

Beliau berkata bengkel dua hari itu bertujuan mendekati komuniti setempat dan mendedahkan peserta kepada aktiviti pemerhatian burung di lapangan, dengan mereka dibahagikan kepada enam kumpulan serta diiringi fasilitator yang membantu untuk mengecam spesies burung.

“Kami berharap melalui inisiatif ini dapat memperkukuh usaha memelihara ekosistem semula jadi di Seberang Perai dan menjadikan kawasan ini sebagai destinasi utama bagi pemerhatian burung serta aktiviti berkaitan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan