SARIKEI, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak meluluskan 46 projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu di seluruh negeri berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM1.2 bilion.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata daripada jumlah itu, lima adalah projek pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bersepadu (IAC) di peringkat bahagian.
Beliau berkata sehingga kini, 16 projek siap dibina di pelbagai daerah dan daerah kecil, termasuk IAC Sarikei yang dirasmikan hari ini serta IAC Serian.
“Sebanyak tujuh projek kini berada di pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk IAC Bintulu, IAC Limbang dan IAC Lawas, manakala 23 lagi projek masih di peringkat perancangan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bahagian Sarikei hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bangunan baharu setinggi 12 tingkat menelan kos RM147.25 juta itu, kini menempatkan kira-kira 500 penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Abang Johari turut mengumumkan rancangan pembinaan kuarters baharu untuk penjawat awam berkonsepkan apartmen moden, melibatkan peruntukan RM3.55 bilion bagi membina 3,672 unit di 67 lokasi seluruh Sarawak.
“Pembangunan ini adalah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Sarawak kepada penjawat awam sebagai tulang belakang dalam pelaksanaan agenda pembangunan negeri. Kemudahan tempat kerja dan kediaman yang kondusif akan meningkatkan mutu perkhidmatan awam,” katanya.
Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bahagian Sarikei yang baharu akan menempatkan 10 jabatan dan agensi utama di bawah satu bumbung, termasuk Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar.
Turut beroperasi ialah Pusat Service Sarawak dan Kaunter Kerajaan Sarawak di aras bawah bangunan, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan digital berasaskan konsep keseluruhan kerajaan.
Pendekatan ini membolehkan rakyat berurusan dengan lebih mudah, efisien dan menjimatkan masa.
“Inisiatif ini selaras dengan pendekatan One Stop Customer Centric Service Delivery yang menekankan kemudahan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” tambah beliau.
-- BERNAMA