KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan rasa dukacita dengan tragedi melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Perak hari ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.
Menurut beliau insiden itu merupakan kehilangan besar kepada pasukan keselamatan dan negara serta anggota yang maut sedang dalam penugasan rasmi.
“Pemergian mereka bukan sekadar tragedi, tetapi suatu peringatan akan besarnya pengorbanan yang dilakukan secara senyap demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Jasa mereka wajib dikenang dengan penuh penghormatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut mendoakan agar sembilan anggota lain yang mengalami kecederaan dalam kejadian sama segera pulih.
Beliau turut menyeru agar kebajikan keluarga mangsa sentiasa diberikan perhatian khususnya dalam aspek kediaman balu, pendidikan anak-anak dan kelangsungan hidup mereka selepas pemergian insan tersayang.
“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini berakhir di jalanan tanpa jaminan kepada mereka yang ditinggalkan. Kebajikan dan masa depan keluarga wira-wira ini harus sentiasa terbela,” katanya.
Beliau menambah negara terhutang budi kepada setiap individu yang berkhidmat dengan penuh komitmen dan jasa mereka harus terus dihargai dan dimartabatkan.
-- BERNAMA