EKONOMI

MALAYSIA PERLU MANFAATKAN TEMPOH AS-CHINA TANGGUH TARIF BAGI PERKEMAS KEDUDUKAN - PAKAR

14/05/2025 05:46 PM

Oleh Naveen Prabu Kuppusamy

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Tempoh penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China menawarkan peluang penting bagi Malaysia memperkemas kedudukannya secara ekonomi, kata pakar.

Selepas rundingan pusingan pertama di Switzerland pada akhir minggu lepas susulan tindakan Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif ke atas semua negara pada 2 April lepas, Washington dan Beijing telah mencapai persetujuan bagi mengurangkan tarif timbal balik sebanyak 115 mata peratusan.

Di bawah perjanjian itu, AS akan mengurangkan tarif import ke atas produk China daripada 145 peratus kepada 30 peratus manakala China akan menurunkan tarif terhadap produk AS daripada 125 peratus kepada 10 peratus.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kajian Kewangan Universiti Teknologi MARA Dr Mohamad Idham Md Razak memberitahu Bernama, Malaysia perlu memanfaatkan tempoh berkenaan yang disifatkan sebagai stabil bagi mempelbagaikan potfolio dagangan serta mengukuhkan daya tahan ekonominya.

Beliau berkata, strategi utama itu termasuk memperkukuh kerjasama pimpinan ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Regional (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mengurangkan kebergantungan ke atas perdagangan antara AS dan China.

“Malaysia juga perlu meningkatkan daya saing eksport dengan menarik firma-firma yang dalam proses mengenal pasti usaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan mereka.

“Ini khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor serta tenaga boleh baharu dan pada masa sama memajukan pembaharuan domestik untuk membolehkannya menjadi pusat pengeluaran serantau menerusi peningkatan operasi perniagaan, infrastruktur digital dan pembangunan tenaga kerja,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan memantau risiko geopolitik selain keperluan membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan cabaran atau gangguan.

Syarikat-syarikat juga, katanya, perlu membangunkan strategi luar jangka untuk menangani kemungkinan berlakunya senario penyahgandingan AS-China dengan meninjau pasaran eksport baharu dan mewujudkan penampan rantaian bekalan.

“Pendekatan proaktif akan membantu Malaysia mengurus ketidaktentuan perdagangan selain merebut peluang baharu global,” katanya.

Menyentuh implikasi perjanjian itu secara meluas, Mohamad Idham berkata penangguhan selama 90 hari itu memberi kelegaan sementara ke atas ketegangan perdagangan global selain dapat menghidupkan semula aktiviti dalam sektor seperti elektronik, pertanian dan pembuatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa langkah penangguhan tarif itu semata-mata tidak memberi jaminan kestabilan.

Walaupun tempoh 90 hari ini menyediakan peluang kepada sesi dialog, ia tidak menjamin keamanan yang berpanjangan sekiranya tiada konsesi penting, yang boleh menyebabkan perang perdagangan kembali berlaku dan pada masa sama meningkatkan sekatan terhadap teknologi dan pelaburan.

“Malaysia perlu terus berwaspada memandangkan penamatan gencatan senjata ini boleh mencetuskan ketegangan perdagangan baharu yang akan menjejaskan eksport serantau dan aliran pelaburan,” kata Mohamad Idham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata Malaysia perlu memberi maklum balas terhadap perkembangan ini, dengan meneruskan perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu secara aktif dengan rakan kongsi global.

“Malaysia perlu mengelak daripada memihak kepada ketegangan perdagangan yang sedang berlaku, dan sebaliknya menumpukan untuk menyokong dasar perdagangan bebas yang jelas dan memberi manfaat kepada pengguna serta mendorong inovasi.

“Situasi ini memberi peluang kepada Malaysia untuk mendorong kepada FTA baharu bukan sahaja untuk menurunkan tarif malah menyelesaikan halangan bukan tarif -- seperti peraturan dan kuota -- yang boleh menjejaskan perdagangan,” katanya.

Beliau turut menekankan tempoh penangguhan tarif selama 90 hari ini merupakan isyarat yang positif.

“Trump telah melakukan tindakan mengejutkan sekali gus negara yang terlibat perlu bersedia untuk memulakan peringkat baharu rundingan dan berusaha untuk menetapkan peraturan baharu.

“Trump tidak menyasarkan kepada tarif secara langsung tetapi berhasrat mendorong negara-negara lain supaya berunding dengannya untuk menyusun semula sistem perdagangan global,” katanya.

Felo Kanan Program Pengajian Malaysia ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura Lee Hwok Aun, berkata tarif sebanyak 30 peratus yang dikenakan ke atas China masih tinggi.

“Tidak dapat dipastikan sama ada penangguhan ini berupaya mengelakkan kemelesetan ekonomi AS atau penularan meluas di peringkat global,” katanya sambil memaklumkan gencatan senjata ini memaparkan tekanan dalaman yang dihadapi oleh AS dan China.

“Negara-negara yang sedang merundingkan perjanjian perdagangan khususnya Malaysia dan negara jiran Asia Tenggara yang terlibat dalam persaingan AS-China perlu bertindak secara bijaksana dan menunggu peluang sementara menantikan penjelasan selanjutnya mengenai hala tuju dan perincian rundingan antara AS dan China,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan