JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA KENA "LOVE SCAM" RUGI HAMPIR RM1 JUTA

13/05/2025 08:17 PM

ALOR SETAR, 13 Mei (Bernama) -- Seorang wanita berputih mata selepas terjerat dengan penipuan cinta atau love scam yang menyebabkan kerugian hampir RM1 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Loi Yew Lik berkata mangsa berusia 53 tahun itu berkenalan dengan individu yang mengaku dari Yemen sejak 26 Jan tahun lepas di Facebook dan sejak itu mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata sepanjang perkenalan, mangsa menerima dua bentuk cincin yang dikirim lelaki tersebut sebagai tanda kononnya untuk berkahwin dengan mangsa.

“Pada 5 Feb 2024, suspek memaklumkan kepada pengadu dia dimasukkan ke hospital dan mahu meminjam wang bagi membiayai kos rawatannya dan berjanji akan membayar balik apabila datang ke Malaysia dan berkahwin dengan pengadu.

“Atas dasar cinta dan percaya, bermula 5 Feb 2024 hingga 25 Mac lepas pengadu memasukkan wang secara berperingkat keseluruhan berjumlah RM925,850 melalui 166 transaksi ke 15 akaun bank berbeza individu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loi berkata pengadu menyedari ditipu apabila mendapati lelaki itu tidak datang ke Malaysia dan akaun Facebook pengadu telah disekat oleh individu tersebut.

Beliau berkata polis kemudiannya menerima laporan daripada mangsa pada 10.49 pagi, 12 Mei lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di Sungai Petani.

Sehubunga itu, Loi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan love scam secara dalam talian dan elakkan daripada termakan pujuk rayu serta memasukkan wang kepada individu tidak dikenali.

“Orang awam juga diminta supaya membuat semakan dengan pihak polis sebelum membuat sebarang transaksi yang mencurigakan. Semakan boleh dibuat melalui aplikasi Semak Mule, Facebook JSJK PDRM atau menghubungi National Scam Response Centre di talian 997,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan