TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- Pemandu lori pasir yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini hari ini, telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata pemandu berusia 40-an yang tidak mengalami kecederaan itu ditahan pagi ini mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ujian saringan telah dijalankan dan pemandu didapati negatif dadah. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengumpul maklumat tambahan,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan di sini hari ini.
Terdahulu, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan pasir dengan sebuah kenderaan FRU yang dinaiki 15 anggota di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi.
Dalam kejadian itu lapan mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.
Beliau berkata mangsa yang cedera parah masih dirawat di Zon Merah Hospital Teluk Intan.
“Kesemua yang maut berusia 40-an terdiri daripada tujuh anggota beragama Islam dan dua bukan Islam. Identiti semua mangsa akan dimaklumkan selepas bedah siasat,” katanya.
Bakri berkata mayat semua mangsa dibedah siasat pada 2.30 petang ini dan bagi jenazah beragama Islam akan disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebelum kesemuanya dibawa ke Balai Polis Sungai Senam Ipoh untuk upacara penghormatan terakhir.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan setakat ini hanya sembilan mangsa maut dalam kemalangan tersebut bukan 10 orang seperti tular di media sosial, dan punca kemalangan juga masih dalam siasatan.
Terdahulu dalam kenyataan, siasatan awal mendapati kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan pasir itu batu merempuh bahagian hadapan lori FRU.
-- BERNAMA