AM

NAHAS TRAK FRU: MANGSA SEMPAT KONGSI VIDEO SEBELUM BERTUGAS

13/05/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Seorang daripada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pagi tadi sempat memuat naik video pendek semasa dalam perjalanan untuk bertugas di Festival Chitra Pournami, Menara Condong di Teluk Intan.

Hantaran berdurasi kurang 20 saat itu dengan kapsyen "gerak ke Teluk Intan" dimuat naik Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, di platform media sosial miliknya, yang turut memaparkan rakan-rakan setugasnya dari Unit 5 Ipoh, lengkap beruniform di dalam trak FRU dengan masing-masing kelihatan ceria berbual antara satu sama lain.

Video berkenaan kemudian dikongsi oleh pengguna media sosial yang lain sebelum ia tular.

Dalam kemalangan pada 8.50 pagi, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.

Selain Akmal Wafi, mereka yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan