AM

PENGGABUNGAN IKB DAN KPBKL OPTIMUMKAN SUMBER ZAKAT - MOHD NA’IM

13/05/2025 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Penggabungan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) yang kini dikenali sebagai Kolej Profesional MAIWP (KP MAIWP) akan mengoptimumkan sumber dana zakat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa akan berlaku penyalahgunaan dana zakat melalui penggabungan berkenaan. 

Beliau menjelaskan antara objektif utama penjenamaan kepada KP MAIWP adalah untuk pengoptimuman sumber sedia ada di kedua-dua institusi berkenaan demi manfaat bersama.

“Kalau sebelum pergabungan ini, IKB tidak ada pusat sumber tetapi kini dengan pergabungan yang berlaku pelajar atau pelatih di IKB boleh memanfaatkan pusat sumber yang ada di KPBKL.

“Begitu juga dari sudut penggunaan dewan, KPBKL yang sebelum ini kurang padang tempat permainan sekarang boleh memanfaatkan kemudahan yang ada di IKB,” katanya selepas merasmikan Majlis Peralihan Penstrukturan Pengurusan IKB di bawah KPBKL di sini hari ini.

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menerusi hantaran di platform X mendakwa penggabungan IKB dan KPBKL seolah-olah menyalahgunakan dana zakat di bawah MAIWP.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Na’im berkata penstrukturan itu bertujuan memperkukuhkan jenama dan reputasi MAIWP sebagai entiti yang menyediakan ekosistem pendidikan menyeluruh sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat dan industri terhadap kualiti pendidikan ditawarkan di KP MAIWP.

Beliau berkata objektif lain adalah untuk membolehkan penyelarasan kurikulum yang lebih komprehensif dan relevan dengan menggabungkan kepakaran daripada kedua-dua institusi bagi memastikan setiap program ditawarkan berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak pasaran kerja yang dinamik, seterusnya membuka peluang lebih luas kepada lulusan institusi itu. 

“Melalui jaringan alumni yang lebih luas dan hubungan baik dengan pelbagai industri, graduan akan mempunyai akses lebih baik kepada peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya dan potensi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di bawah ekosistem pendidikan MAIWP mahupun rakan strategik yang lain,” katanya.

Mohd Na’im berkata langkah strategik penggabungan itu juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah ia dirangka berdasarkan kajian dan analisis daripada pelbagai aspek antaranya kewangan, insfrastruktur dan kemudahan, penawaran program dan pengurusan pelajar, pelesenan serta pengurusan sumber manusia. 

“Ia telah diteliti daripada peringkat Lembaga Pengarah, Mesyuarat Jawatankuasa serta Mesyuarat Ahli MAIWP hinggalah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan