AM

IBU TUNJANG UTAMA CORAK GENERASI BERAKHLAK, BERILMU - PM ANWAR

11/05/2025 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh kaum ibu yang menjadi asas kepada lahirnya keluarga dan masyarakat yang bermaruah, unggul dan madani.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata ibu bukan sekadar permaisuri dalam keluarga tetapi tunjang utama dalam membentuk serta mencorak generasi penerus yang berakhlak, berilmu dan bersedia memimpin masa depan dengan sikap belas yang tinggi beserta curahan bakti dan kasih sayang.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh kaum ibu yang menjadi asas kepada lahirnya keluarga dan masyarakat yang bermaruah, unggul dan madani,” katanya.

Perdana Menteri turut memuat naik gambar beliau bersama Allahyarham ibunya, Che Yan Hamid Hussein, isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seorang anak perempuannya.

Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan