AM

TAM BERHASRAT ANJUR PERSIDANGAN TELUGU DUNIA 2026

10/05/2025 11:25 PM

RAWANG, 10 Mei (Bernama) -- Persatuan Telugu Malaysia (TAM) merancang menganjurkan Persidangan Telugu Dunia di Kuala Lumpur pada tahun depan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-70 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Presiden TAM Sathiah Sudakaran berkata ini adalah kali ketiga Malaysia menganjurkan persidangan itu selepas edisi terdahulu pada 1981 dan 2013.

Beliau berkata persatuan itu sedang melakukan persiapan awal dan akan menyerahkan cadangan mengenai perkara tersebut kepada kerajaan tidak lama lagi.

“Terdapat kira-kira 100 juta orang daripada etnik Telugu di seluruh dunia dengan India memiliki populasi terbesar disusuli Amerika Syarikat dan Malaysia.

"Kami berharap dapat menganjurkan acara ini dengan jayanya seiring sambutan ulang tahun TAM yang ke-70,” katanya kepada pemberita semasa Festival Ugadi 2025 yang berlangsung di Akademi Telugu Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, TAM telah mengemukakan empat permintaan kepada kerajaan termasuk geran tahunan sebanyak RM5 juta bagi menyokong perjalanan kelas bahasa dan program pembangunan budaya.

Sathiah berkata persatuan itu juga berharap kerajaan akan mengisytiharkan Ugadi, Tahun Baharu Telugu yang biasanya disambut pada April, sebagai hari cuti tanpa rekod dan mengembalikan Bahasa Telugu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy, yang merasmikan festival itu, pula berkata beliau akan memanjangkan permintaan TAM kepada agensi kerajaan berkaitan untuk dipertimbang.

“Meskipun komuniti Telugu adalah minoriti dalam populasi kaum India di Malaysia, mereka telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan