BUKIT MERTAJAM, 9 Mei (Bernama) -- Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR harus dinilai atas dasar merit dan perjuangan peribadi beliau, bukan dari lensa ‘anak kepada presiden parti’, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.
Adam Adli menegaskan bahawa tidak wujud sebarang layanan istimewa terhadap Nurul Izzah sepanjang penglibatannya dalam dunia politik.
Beliau turut menggesa akar umbi agar melihat dari segi sumbangan, ketokohan dan sejarah panjang perjuangan politik Nurul Izzah sejak usia remaja.
“Beliau (Nurul Izzah) sendiri memahami maksud berjuang dan tahu bahawa kedudukannya tidak seharusnya dilihat sebagai kelebihan. Ini cabaran yang beliau perlu atasi,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni sebuah keluarga di Kampung Permatang Janggus di sini sempena program Ziarah Kasih MADANI hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memiliki ciri ketokohan yang menjadi inspirasi kepada golongan muda serta seorang yang mempunyai visi dalam mencorakkan masa depan parti.
Sehubungan itu, beliau melihat pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR bukan sahaja sebagai cabaran kepada kepimpinan sedia ada tetapi juga satu isyarat bahawa akar umbi dan generasi muda dalam parti mahukan kesinambungan perjuangan yang berteraskan integriti, ketelusan dan idealisme.
Nurul Izzah dalam kenyataan hari ini mengesahkan pencalonannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu 23 Mei ini.
-- BERNAMA