KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Qatar pada Jumaat mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala serta persiapan menjelang Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang akan datang.
Menurut Kementerian Luar Malaysia di laman Facebook rasminya, perbincangan diadakan semasa kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Luar Qatar Dr Ahmad Hassen Al-Hammadi ke atas Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan di Putrajaya.
“Kedua-dua pihak membincangkan isu berkepentingan bersama merangkumi usaha memperkukuh hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Qatar adalah anggota GCC yang turut dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China sulung pada penghujung bulan ini.
-- BERNAMA