DUNIA

RUSIA ANJUR PERARAKAN HARI KEMENANGAN KE-80 DI DATARAN MERAH MOSCOW

09/05/2025 06:17 PM

MOSCOW, 9 Mei (Bernama-TASS) -- Rusia meraikan ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dengan mengadakan perarakan ketenteraan di Dataran Merah Moscow pada Khamis, lapor agensi berita TASS.

Presiden Rusia Vladimir Putin bersama para veteran perang, tetamu kehormat dan pemimpin asing menyaksikan acara itu dari pentas utama.

Sambutan Hari Kemenangan tahun ini menyaksikan kehadiran pemimpin dari 27 negara, termasuk Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Serbia Aleksandar Vucic, Perdana Menteri Slovakia Robert Fico dan Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel.

Turut hadir ialah Presiden Belarus Alexander Lukashenko, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie.

Acara itu turut disertai kontinjen tentera asing dari 13 negara, antaranya Azerbaijan, China, Mesir, Vietnam, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Mongolia, Myanmar, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Unit ketenteraan China dilaporkan sebagai kontinjen asing terbesar dalam perarakan tahun ini.

Barisan pasukan Rusia terdiri daripada pelbagai unit angkatan tentera termasuk rejimen dan batalion daripada cabang ketenteraan berbeza, kadet dari sekolah Suvorov dan Nakhimov, anggota pergerakan belia Young Army serta anggota operasi ketenteraan khas yang sedang berlangsung.

Segmen mekanikal pula diketuai kereta kebal ikonik T-34, diikuti kenderaan berperisai ringan dan berat serta peralatan ketenteraan moden.

Perarakan tahun lepas menampilkan lebih 9,000 anggota, 61 sistem persenjataan dan 15 pesawat tempur.

Sambutan tahun ini terus menjadi simbol utama sejarah ketenteraan Rusia dan pengorbanan semasa peperangan.

Sambutan tahun ini terus menjadi simbol utama sejarah ketenteraan Rusia dan pengorbanan semasa peperangan.

– BERNAMA-TASS

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan