KUALA TERENGGANU, 9 Mei (Bernama) -- Tujuh Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menyatakan sokongan padu kepada Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025-2028.
Ketua Penerangan PKR negeri Dr Che Wan Ku Hashim Che Ku Mat berkata Nurul Izzah layak memikul tanggungjawab sebagai orang nombor dua PKR berdasarkan kehebatan pengalamannya termasuk ketika memimpin parti menghadapi saat susah dan senang.
“Beliau adalah Puteri Reformasi. Saya yakin Nurul Izzah mampu memacu PKR ke arah lebih progresif kelak.
“Sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, beliau selaku Pengarah Pilihan Raya PKR merupakan arkitek yang membawa kepada kemenangan 47 kerusi (Parlimen). Banyak kejayaan di bawah kepimpinannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Che Wan Ku Hashim yang merupakan Ketua Cabang Besut berkata selaku Naib Presiden PKR, Nurul Izzah juga lebih mesra dengan akar umbi dan sifat itu akan memotivasikan jentera berkhidmat untuk parti demi mencipta kejayaan lebih bermakna pada PRU akan datang.
Beliau berkata tujuh ketua cabang yang memberi sokongan kepada Nurul Izzah adalah Besut, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.
“Hanya Marang tidak boleh kemukakan sokongan sebab ada isu penggantungan susulan bantahan pada Mesyuarat Agung cabang sebelum ini,” katanya.
Nurul Izzah hari ini mengumumkan menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028.
Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat MPP, Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) akan diadakan pada 23 Mei ini.
-- BERNAMA