KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.
Menerusi kenyataan hari ini, Naib Presiden PKR itu berkata sekiranya perwakilan yakin beliau layak menggalas tanggungjawab serta amanah besar, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan khidmat terbaik demi parti.
"Ada kalanya, keputusan yang perlu kita ambil bukanlah yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.
"Saya tetap percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu. Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998," katanya.
Sejak beberapa hari lepas, ramai pemimpin tertinggi dan peringkat cabang menyatakan sokongan serentak terhadap Nurul Izzah bagi merebut jawatan nombor dua tersebut.
Sebelum ini, jawatan itu dimenangi Datuk Seri Rafizi Ramli setelah menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2022.
Nurul Izzah berkata keputusan bertanding jawatan nombor dua parti itu mendapat reaksi berbeza dengan sebahagian ahli menyatakan kegusaran dan meminta beliau mempertimbangkan semula keputusan berkenaan kerana bimbang PKR dilabel “Parti Anak Beranak”, namun ada yang menyambut baik kerana ingin melihat pembaharuan dalam parti.
“Walau apa jua gelaran dan persepsi dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat kerana yakin proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme, tetapi asas demokrasi yang perlu dipertahankan dalam parti ini,” katanya.
Selain itu, Nurul Izzah berkata menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), fokus parti kini seharusnya terarah kepada merangka strategi lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan kekuatan bersama kerana ia tidak boleh dimenangi dengan usaha individu atau bergerak bersendirian.
“Sekiranya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang - khususnya di 50 kerusi marginal.
“Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, jentera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua,” katanya.
Pada masa sama, Nurul Izzah meluahkan rasa terkilan kerana terdapat penyokong parti sanggup melakukan serangan peribadi terhadap dirinya dengan memberi pelbagai gelaran selain mengejek status perkahwinan.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan lain dengan biadab apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka.
“Ini parti yang telah kita bina bersama. Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekal dengan adab dan hikmah. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan, gelaran dan kata-kata kesat,” katanya.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat MPP, Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) akan diadakan pada 23 Mei ini sempena Kongres Nasional PKR di Johor Bahru.
-- BERNAMA