MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Polis menafikan mesej tular melalui aplikasi WhatsApp mendakwa bayi lelaki berusia dua bulan yang disyaki didera ibu bapanya sehingga tidak sedarkan diri baru-baru ini, telah meninggal dunia.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata bayi terbabit dalam keadaan sedar dan boleh minum susu seperti biasa serta dalam keadaan sihat di bawah pengawasan pakar perubatan Hospital Melaka.
“Dakwaan bayi itu meninggal dunia adalah palsu. Mangsa juga boleh dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) ke wad biasa hari ini, namun semuanya bergantung pada laporan doktor yang merawat bayi itu.
“Bayi berkenaan juga diletakkan di bawah pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Siri 1/2025 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Dzulkhairi berkata kertas siasatan kes terbabit hampir lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau menasihati masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu siasatan serta perasaan waris mangsa.
Pada 7 Mei, media melaporkan sepasang suami isteri berumur 22 tahun direman tujuh hari kerana disyaki mendera anak mereka di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah.
Siasatan awal mendapati ibu bayi itu mendakwa anaknya mengalami sawan dan tidak sedarkan diri semasa membawa bayi itu ke Hospital Alor Gajah, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Pakar perubatan Hospital Melaka bagaimanapun, mengesyaki berlaku penderaan selepas pemeriksaan termasuk imbasan CT mendapati terdapat kecederaan lama dan baharu, selain kesan lebam serta luka pada badan dan leher bayi itu.
-- BERNAMA