AM

TUNKU TUN AMINAH MENCEMAR DULI BERKUNJUNG KE KPKT

09/05/2025 09:44 AM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli berkunjung ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tunku Aminah disambut Menteri Nga Kor Ming serta warga kerja KPKT, dan baginda meluangkan masa kira-kira dua jam di sana.

Menurut hantaran di Facebook KPKT, semasa kunjungan baginda, Nga telah mengadakan sesi perbincangan dua hala bersama Tunku Aminah, yang menyentuh pelbagai isu berkaitan pembangunan komuniti, inisiatif hijau, serta kerjasama strategik bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Dalam sesi tersebut, Nga turut mempersembahkan Kad Laporan Pencapaian KPKT bagi tahun 2024 yang berjaya memenangi Anugerah Pembangunan Negara, serta merangkumi inisiatif utama dan impak program KPKT kepada rakyat

“Ia termasuk paparan Program Hari Landskap Negara 2024 yang berjaya mencipta sejarah bila dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan turut dihadiri oleh Tunku Aminah,” menurut hantaran KPKT itu.

Tunku Aminah kemudiannya berkenan meluangkan masa meninjau beberapa aset kebombaan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang dipamerkan di pekarangan bangunan KPKT yang memberi gambaran kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan bomba dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

“KPKT amat menghargai lawatan ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Tunku Aminah meluangkan masa bersama warga KPKT. Semoga hubungan baik ini terus membuka ruang kolaborasi yang bermanfaat demi pembangunan komuniti yang inklusif dan sejahtera,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan