KUANTAN, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mempersembahkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk diperkenankan sebelum diwartakan dalam Warta Kerajaan.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pindaan pada Akta Perkhidmatan Bomba yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Mac dan Dewan Negara pada 23 Mac lepas bertujuan meningkatkan aspek pengurusan dan pengawalseliaan bagi seluruh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pengurusan dan pengawalseliaan ini melibatkan Pasukan Bomba Sukarela, Pasukan Kadet Bomba, Pasukan Bomba Persendirian, Perunding dan Firma Perunding Keselamatan Kebakaran, Orang Kompeten dan Kontraktor Keselamatan Kebakaran, Penyedia Latihan Berdaftar dan Pengajar serta Kelengkapan Menentang Kebakaran.
“RUU ini kini dipersembahkan untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, sebelum ia diwartakan dalam Warta Kerajaan dan dapat dikuatkuasakan oleh JBPM kelak,“ katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1 di sini hari ini.
Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia itu dirasmikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda berdua turut diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.
Bagi memperkasakan khidmat kebombaan dan penyelamatan di negeri ini, Nga berkata KPKT dan JBPM komited untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan prasarana baharu dengan peruntukan RM203.45 juta, antaranya melibatkan pembinaan semula dan ubah suai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, menaik taraf BBP Bentong dan membina BBP Sungai Lembing dan BBP Benta.
“Selain itu, KPKT dan JBPM juga akan membina BBP Gohtong Jaya dan kuarters melalui kerjasama pintar dengan Genting Malaysia Berhad dan melaksanakan kerja awalan perolehan tanah bagi Pembangunan BBP Pulau Tioman,” katanya.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua anggota pasukan JBPM Pahang atas segala bantuan yang telah dihulurkan sepanjang tahun lepas.
“Tanpa pasukan bomba, mungkin masalah yang kita hadapi pada musim tengkujuh, musim kering (kemarau), agak sukar untuk kita selesaikan,” titah baginda.
Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 yang bertemakan "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara" turut diserikan dengan perarakan daripada 34 kontinjen dan 50 jentera yang melibatkan 1,500 anggota daripada JBPM, Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia, Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS).
-- BERNAMA