KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) --Sudah tiba masanya barisan pemain pelapis skuad badminton negara tampil menggalas tanggungjawab lebih besar susulan kegagalan Malaysia melepasi saingan suku akhir di Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, Jumaat lepas.
Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kegagalan itu sebagai mengecewakan dan menegaskan bahawa barisan pemain yang disenaraikan kali ini sepatutnya mampu sekurang-kurangnya meraih tempat di podium.
“Setiap kali kejohanan berpasukan, kita tetap bergantung kepada pemain utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita).
“Bagi saya, pemain pelapis perlu tampil ke depan dan bersedia sepenuhnya pada tahap tertinggi supaya kita ada kelompok pemain lebih luas untuk diharapkan,” katanya.
Menurut Norza langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan yang ditanggung pemain utama negara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pengenalan jersi dan pemain skuad sepak takraw negara bagi menghadapi Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei ini.
Malaysia gagal mara ke separuh akhir selepas tewas mudah 0-3 kepada tuan rumah, China dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang.
Dalam perlawanan itu, gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tunduk 17-21, 17-21 kepada pasangan Yan Zhe-Dong Ping dalam masa 49 minit manakala Leong Jun Hao tidak mampu memberi tentangan kepada Shi Yu Qi selepas tewas 6-21, 14-21.
Sementara itu, pemain wanita negara K. Letshanaa pula gagal memberikan saingan kepada juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei selepas kalah 8-21, 7-21 dalam masa hanya 32 minit.
Norza turut berpandangan semangat juang pemain negara masih jauh berbanding pemain negara lain seperti Korea Selatan dan Indonesia.
“Saya rasa itulah perbezaan paling ketara. Pemain kita perlu beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan bermain dengan penuh keinginan untuk menang,” katanya.
-- BERNAMA