KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM8 juta dalam bentuk dana pembiayaan bagi memperkasa sektor kesihatan mata dan memperluaskan peluang keusahawanan industri optometri dalam kalangan usahawan bumiputera.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata dana itu disalurkan melalui Program Pembangunan Usahawan Bidang Optometri yang menyasarkan kira-kira 30 peserta untuk membuka perniagaan di kompleks beli-belah, dengan had maksimum pembiayaan RM400,000.
“Kita tahu di Malaysia daripada 6,700 kedai optometri, hanya 10 peratus dimiliki bumiputera. Jadi, kita berharap pembabitan 10 peratus usahawan bumiputera akan dapat dipertingkatkan.
“Justeru, melalui MARA dengan kerjasama La Calisto akan memberi sokongan dari segi latihan pendedahan kepada teknologi terkini dalam optometri, latihan klinikal serta strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan yang efektif,” katanya semasa Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Bidang Optometri di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar La Calisto Wong Ching Fook dan Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA Lailatul Asmah Mohd Tahir.
Kerjasama antara MARA dan La Calisto ini sebagai langkah menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera, yang mahu usahawan bumiputera berkolaborasi dengan usahawan bukan bumiputera untuk maju ke depan dalam Kerajaan MADANI.
Zulfikri berkata program itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mata, tetapi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif itu turut berperanan melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang optometri menerusi penyediaan latihan kemahiran, sokongan kewangan dan bimbingan perniagaan yang komprehensif.
La Calisto turut bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia bagi mengenal pasti calon usahawan dalam kalangan graduan bidang optometri untuk menyertai program berkenaan.
“Bagi memastikan kejayaan peserta dalam program ini, usahawan itu sendiri mesti mempunyai pengetahuan dalam bidang optometri dan bidang pemasaran, selain memastikan kedai yang dibuka berada dalam kompleks beli-belah,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod, 90 peratus program khas di bawah inisiatif MARA dalam tempoh 10 tahun lepas menunjukkan kejayaan, dan beliau percaya program pembangunan usahawan itu juga akan mencatat kejayaan yang sama.
“Peserta yang terlibat dalam program berkenaan akan dipantau melalui 122 pejabat MARA daerah,” katanya.
-- BERNAMA