AM

MARA SIASAT DAKWAAN BULI PELATIH OKU DI GIATMARA ALOR GAJAH

04/05/2025 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) --Semua individu termasuk pelatih yang didakwa menjadi mangsa buli di GiatMARA Alor Gajah, Melaka seperti yang tular baru-baru ini akan dipanggil pihak pengurusan esok bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim supaya mengambil tindakan segera berhubung insiden berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu adalah gurauan kasar sesama pelatih ketika mereka menjalani latihan di GiatMARA Alor Gajah sebelum ini. Kini, mereka semua sedang menjalani Latihan Industri dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan buli, sama ada secara fizikal atau mental.

Katanya tiada tempat untuk pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej MARA, Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata pengurusan MARA di semua peringkat serta IPMA memahami prinsip beliau terhadap isu berkenaan, dan tindakan paling tegas akan diambil jika terbukti berlaku salah laku atau jenayah buli.

Baru-baru ini, tular di media sosial klip video berdurasi dua minit yang memaparkan seorang pemuda mendakwa terdapat pelatih berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran menjadi mangsa buli di GiatMARA Alor Gajah.

Pemuda berkenaan mendakwa terkejut apabila pelajar OKU terbabit, yang baru dikenalinya di gelanggang badminton, menceritakan kejadian itu kepadanya.

Dalam video berkenaan, mangsa yang sedang baring di atas lantai kelihatan terkejut apabila satu objek berwarna putih dilempar ke arahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan